TUHAN CIPTAKAN MANUSIA SUPAYA MEREKA KENAL MAHA PENCIPTA. HIDUP CUMA PINJAMAN. MATI ITU SEDANGKAN SUATU YANG PASTI. TULISAN INI ADALAH PERINGATAN BUAT MANUSIA YANG MASIH INGKAR AKAN TUJUAN ASAL PENGHIDUPAN MEREKA.

Sorotan semula…

ISKANDAR dan Suria tersesat di tengah-tengah hutan belantara. Sepasang suami isteri itu sedang pulang daripada mencari kayu api untuk dijual ke kampung sebelah. Kebiasaannya sebelum malam mula melabuhkan tirai, mereka akan sampai ke rumah. Namun, langkahan mereka pada hari itu seolah-olah dipandu oleh satu kuasa jahat.

Manusia yang menjadi perantara syaitan dan iblis untuk terus menolak waris-waris Adam ke lembah penghinaan. Iskandar dan Suria terus meredah kepekatan malam. Sebatang kayu digunakan untuk membuat jamung. Api yang menyala meliuk-lentok ditiup angin malam.

Gemersik angin antara rimbunan daun-daun menyedarkan Iskandar. Segera dia memberi isyarat kepada isterinya. Suria seakan memahami. Langkahan mereka tidak diteruskan.

Angin semilir yang mula bertiup sejak dari tadi bertukar menjadi ganas. Umpama sang naga yang dahagakan mangsanya. Suria menjerit ketakutan. Segera masuk ke dakapan suaminya. Dari celahan pokok-pokok, kelihatan seorang nenek tua terbongkok-bongkok. Merenung tajam ke arah mereka. Matanya merah menyala.

“Kau siapa?” soal Iskandar. Suaranya terketar-ketar ketakutan. Suria tidak berani untuk melihat nenek tua itu. Mukanya yang membengis itu benar-benar membuatkan Iskandar tidak dapat berkata apa-apa. Suaranya seolah-olah tersekat di halkum.

“Kamu berdua telah masuk ke kawasan aku!” jerit Mas Gemara. Disertai dengan hilaian yang menyerupai sang pontianak. Bulu roma Iskandar merinding. Semakin kuat memeluk isterinya.

Mas Gemara mula melaung memuja iblis yang durjana. Makhluk yang dianggapnya sebagai pemilik mutlak alam sejagat. Pemberi kekuasaan dan kekuatan yang ada padanya selama ini. Mata hitamnya terangkat ke atas sehingga putih matanya sahaja yang kelihatan.

Angin belantara semakin kuat menghembus. Menerobos siapa sahaja yang ada dihadapan. Daun-daun kering di tanah berterbangan di sana-sini. Mula membentuk satu garisan meninggi menuju ke langit malam. Pemuja iblis itu mendongak ke atas. Jampi mentera mula dibaca. Tanah yang dipijak terasa seperti bergegar.

Iskandar hanya mampu memerhatikan sahaja peristiwa menakutkan itu. Terjahan angin meyebabkannya tersungkur ke belakang. Kini, dia tidak mampu lagi untuk melihat kejadian aneh itu. Mas Gemara semakin galak melakukan pemujaannya. Pokok-pokok yang ada di situ mulai tumbang satu persatu. Mujur sahaja tidak mengena Iskandar dan isterinya.

“Engkau sekarang adalah milikku!!!” laung Mas Gemara kepada Iskandar dan Suria. “Sebagai balasan, aku akan tunaikan hajat kamu berdua!”

Iskandar dan Suria masih diselubungi ketakutan teramat sangat. Peristiwa aneh tadi benar-benar menggerunkan mereka. Iskandar hanya mengangguk tanda setuju. Bimbang akan diapa-apakan oleh nenek iblis itu.

“Aku akan mengurniakan kamu berdua seorang cahaya mata…dengan itu, hidup kamu berdua akan lebih bahagia.” Mas Gemara cuba bermain muslihat. Puas hatinya apabila dapat menambah lagi pengikutnya menuju ke alam kegelapan. Segala syarat dan pantang larang diberikan kepada Iskandar. Suami isteri itu terpaksa menerimanya walau dalam keadaan terpaksa.

“Setiap malam Jumaat tatkala bulan mengambang penuh, kamu mesti membawa anakmu itu ke sebuah telaga lama di kaki sebuah perbukitan. Di situ, kamu perlu memandikan anakmu dengan air dari telaga itu. Darahnya perlu kau ambil untuk dipersembahkan kepadaku,” terang Mas Gemara lagi. Matanya yang masih merah menyala merenung tajam ke arah Iskandar dan Suria. Mulutnya dimuncungkan ke sebuah bukit di sebelah barat. Mereka telah terperangkap dalam sumpahan iblis laknatullah itu.

Kampung Hulu Belintar

MAJLIS kenduri kesyukuran di rumah Penghulu Karim sedang berjalan. Seluruh penduduk kampung berkunjung ke rumah. Imam Mursyid mengetuai majlis itu. Bayi yang dikendong oleh Tok Penghulu itu tidak henti-henti menangis sedari tadi. Tangisannya seolah-olah memanggil dan menyeru supaya majlis tersebut dihentikan.

Di luar rumah, Aliff termengah-mengah memanggil Penghulu Karim. Majlis terhenti sejurus mendengar jeritan anak kecil itu. Imam Mursyid dan Penghulu Karim lekas menuju ke muka pintu. Aliff sudah terpunduk di tangga rumah.

Bersambung…

p/s Aku sebenarnya tadi mahu menulis sebening kasihmu 4. (klik untuk Sebening Kasihmu 3). Masih belum ketemu ilhamnya…