APA KHABAR Jumaat anda? Semoga semuanya di dalam keadaan yang sihat-sihat ya. Yang mana sakit itu, jangan lambat berjumpa doktor. Jangan nanti sudah melarat baru hendak mencari penawarnya. Masa itu sudah terlambat.

Hari ini hari Jumaat. Ya, hari yang sering kali kita anggap sebagai hari rahmat. Bagi sesetengah tempat, Jumaat merupakan hari untuk bermalas-malasan. Hari untuk melepak-lepak. Bersantai di rumah. Benarkah begitu? Anda sendiri yang tahu jawapannya.

Teruja saya hari ini untuk mengajak sidang pembaca bersama saya untuk kita mengkoreksi semula aura dalaman yang kita ada. Aura? Kuasa dalaman?

Ya, jangan tidak tahu ya bahawa kita sebenarnya mempunyai suatu rahsia kekuatan yang kita sendiri kekadang terlupa. Tidak sedar bahawa kita sebenarnya lebih hebat daripada apa yang kita sangka. Kita sebenarnya jauh lebih perkasa daripada hari ini. Tidak percaya?

Baiklah. Sekarang cuba anda yang ada di depan saya ini pejamkan mata. Pejam betul-betul ya. Tarik nafas dalam-dalam. Kemudian, cuba ingat kembali saat-saat duka masa lalu. Ingat betul-betul. Bayangkan anda kini sedang berada di masa itu. Anda sedang bersedih. Pilu. Mungkin ada yang sampai rasa mahu membunuh diri. Sudah dapat bayangkan.

Baiklah. Sekarang buka semula mata, pandang sekeliling, ke atas, lihat dinding di belakang anda, dan  kemudian pejamkannya semula. Bayangkan  pula saat-saat manis anda sepanjang hidup. Cuba ingat saat-saat paling menggembirakan anda. Pasti ada bukan.

Eh, apa sebab kau suruh kami buat semua perkara ini?

Mungkin ada yang bertanya sedemikian. Ada juga yang mungkin pernah pun tahu sebelum ini. Baiklah, apa pentingnya ya saya suruh buat begitu? Macam tiada faedah sahaja.

Kawan-kawan, percaya tidak kalau saya katakan bahawa saat yang paling sedih dalam hidup kita itu sebenarnya telah menjadikan kita jauh lebih bagus dan cemerlang pada hari ini. Ketika anda mengingat semula saat-saat duka itu, secara tidak langsung anda sebenarnya telah membawa diri anda jauh ke masa-masa lalu yang penuh dengan kesengsaraan. Penuh dengan penderitaan.

Pernah bayangkan bagaimana anda mampu bangkit seperti mana hari ini? Percaya atau pun tidak, anda sudah pun bangkit. Anda telah pun lari jauh daripada masa-masa duka itu.

Percayalah bahawa anda sebenarnya jauh lebih berjaya pada hari ini. Bagaimana ini boleh berlaku. Ha, kita sendiri tidak sedar bukan. Macam mana aku boleh mendepani semua ini ya?

Jelas bukan bahawa aura dalaman kita telah membuatkan kita mampu pergi sejauh ini. Tanpa kekuatan dalaman mana mungkin kita boleh sampai ke tahap ini.

Rohani, mental, fizikal malahan semuanya telah mencorakkan aura dalaman kita supaya lebih unggul dan terbilang.

Teman-teman, hidup kita hanya sekali. Tiada yang kedua. Apa gunanya bersedih-sedih. Apa guna hendak marah-marah. Gunakanlah peluang yang satu ini sebaiknya. Entah esok, entah lusa, minggu depan… atau mungkin sekejap lagi kita akan pergi selama-lamanya. Itu pasti bukan? Saya menulis sebenarnya adalah untuk peringatan buat diri sendiri. Semoga anda semuanya turut mendapat manfaat ya.

Senyumlah sentiasa walaupun anda sedang bersendirian…

p/s Mungkin SangMentari akan menimbang-nimbang semula untuk menggelarkan dirinya ‘saya’ selepas ini…