INI ADALAH SEBUAH CERITA BENAR. NAMA DAN WATAK DALAM CERITA INI TELAH DIUBAHSUAI SUPAYA TIDAK ADA KAITAN DENGAN HIDUP ATAU PUN YANG TELAH MATI. DIADAPTASIKAN DARIPADA KEHIDUPAN SEBENAR SEORANG YANG BERNAMA MANUSIA.

ADAPUN kisah ini berlaku bersanat-sanat yang lampau. Sengaja kuulang-ulangnya supaya menjadi iktibar buat generasi masa akan datang. Harapnya kalian mendapat untung daripada ceritera ku ini ya.

Di sebuah kampung kecil, tinggal sebuah keluarga yang hidupnya serba sederhana. Dinding dan atapnya ditutup menggunakan kepingan-kepingan zink sahaja. Namun, mereka berempat cukup bahagia. Si ibu dipanggil mama manakala si bapa dipanggil papa. Yang si anak itu, biarlah kunamakan Apan dan yang seorang lagi itu Upun.

Apan dan Upun dibesarkan dengan penuh kasih sayang. Walaupun serba kekurangan, si mama dan papa tidak pernah mengabaikan tanggungjawab mereka kepada si anak. Apan dan Upun dibesarkan dalam suasana keperitan. Dan kedaifan itulah yang mereka harus bayar tika dewasa kelak.

Hendak dijadikan ceritanya, apabila cukup umur. Apan dan Upun masuklah ke sekolah tadika. Sekolahnya pun di Tabika Kemas sahaja. Aku tidak pastilah zaman kalian nanti masih ada lagi atau tidak sekolah itu. Hari pertama ke sekolah, Apan dan Upun menangis. Menangis dalam sebenarnya. Kata mama, Apan dan Upun memang begitu. Kalau pun menangis, jarang mereka tunjukkan. Tapi papa juga tahu. Apan dan Upun sedang menangis.

Setahun dilalui begitu sahaja. Kemudian Apan dan Upun membesar. Mereka masuk pula ke sekolah rendah. Letaknya sekolah itu di seberang jalan besar. Ada jejantas pejalan kaki melintasi jalan besar tersebut. Setiap pagi mama akan hantar Apan dan Upun. Naik motosikal sahaja. Sampai di tepian jejantas, Apan dan Upun akan mencium tangan mama. Mama pula akan mengucup dahi mereka berdua. Kemudian, berjalanlah Apan dan Upun beriringan melangkah ke sekolah. Mama akan memerhatikan mereka sehingga masuk ke pagar sekolah.

Tengah hari mama sudah siap menunggu di seberang jejantas untuk mengambil anak kesayangan. Pulang ke rumah. Makan dan minum. Kemudian menghantar kembali ke jejantas untuk ke sekolah agama pula. Petang nanti diambilnya semula. Begitulah rutin hidup Apan dan Upun saban hari selama enam tahun. Hidup penuh dengan keceriaan.

Ibarat kata orang, tidak semua yang diidam dan diimpi itu akan datang bergolek.

Walaupun ditatang bagai minyak yang penuh, Apan dan Upun gagal untuk membahagiakan hati mama dan papa. Aku lihat mama dan papa tersangatlah berduka. Apan dan Upun sebenarnya gagal menempatkan diri ke sekolah-sekolah yang hebat. Mungkin masa generasi kalian sekolah itu dipanggil sekolah berasrama penuh. Mama dan papa sungguh kecewa.

Apan dan Upun masih tidak mengerti. Bukan mereka yang minta begitu. Mereka sudah berusaha. Namun, takdirnya sudah demikian. Akhirnya, Apan dan Upun masuklah ke sebuah sekolah yang kurang ternama. Katanya sekolah itu dulu adalah letaknya sebuah kolam atau tasik. Entahlah, aku pun tidak pasti.

Di situ, aku lihat Apan dan Upun mula bersungguh. Mula tahu pengorbanan mama dan papa. Seingat aku, ketika itu semua aktiviti di sekolah dilibatkannya. Di situ, Apan dan Upun mula dikenali. Permulaannya ialah ketika Apan dan Upun berjaya muncul pemain bola sepak termuda untuk sekolahnya.

Bayangkan, ketika baru di tingkatan dua, Apan dan Upun sudah terpilih bersama rakan-rakan di tingkatan lima untuk skuad bola sepak bawah 18 tahun. Pernah sekali itu, aku lihat Apan dan Upun terpilih pula untuk menyertai pasukan pilihan negerinya menentang negara Temasek. Mungkin sekarang sudah dipanggil Singapura. Itu juga bersama rakan-rakan di tingkatan lima. Aduh, aku macam tidak percaya pada dua budak ini. Usia baru setahun jagung. Kata jurulatihnya, cikgu Fadhil, Apan dan Upun bakal menggegar negara suatu masa nanti. Apa-apalah cikgu Fadhil itu merapu.

Namun, apabila mama papa dapat tahu sahaja aktiviti rahsia Apan dan Upun itu. Mama dan papa pun melenting. Ya, semua kasut bola Apan dan Upun disimpannya. Pendek cerita, Apan dan Upun disuruh menggantung but selama-lamanya. Mahu fokus pada pelajaran katanya. Aduh, masa itu aku lihat Apan dan Upun meraung macam setengah gila. Menangis dan merayu. Kasihan sungguh aku tengok.

Apan dan Upun terus membesar. Tingkatan empat, Apan dan Upun masuk ke sebuah sekolah agama. Setiap hari memakai serban. Setiap hari mendengar tazkirah. Apan dan Upun pun sudah tidak degil lagi. Ketika itu, aku lihat Apan dan Upun tersangatlah letih. Namun mereka tetap kuat. Aku pun tahu mereka sendiri yang memilih jalan itu. Mereka yang beriya mahu ke sekolah tersebut. Mama dan papa juga tidak memaksa. Sekolah impian katanya.

Dua tahun di situ, ternyata Apan dan Upun tidak mengecewakan mama dan papa lagi. Aku masih ingat. Masa hari terakhir Apan dan Upun ke sekolah agama itu. Mama menangis tika Apan dan Upun di atas pentas. Aku pun tumpang gembira masa itu. Apan tanya,

kenapa mama menangis?

Mama diam, segera mengesat air matanya. Mama tersangat gembira sebenarnya….

Dan hari ini aku dengar Apan dan Upun telah pergi jauh. Ke mana itu, aku pun tidak pasti. Khabar angin kuat mengatakan bahawa Apan dan Upun pergi merantau. Ada yang katanya ke negara atas angin. Tidak kurang juga yang mengatakan Apan dan Upun sudah membawa diri ke tanah arab. Mama dan papa juga sudah lama tidak kudengar khabar beritanya. Entah sihat, entah sakit.

Kata kawan-kawanku, Apan dan Upun merajuk sebenarnya. Kerana itulah mereka berdua berpergian jauh-jauh. Entahlah, semoga Apan dan Upun terus berada di bawah lembayung rahmatnya. Ingatlah teman-teman semua, syurga itu di bawah telapak kaki ibu… walau jauh mana sekali pun kita, pengorbanan mereka usah dilupa. Doakanlah semoga Apan dan Upun segera pulang ke tanah air… sekian