“Cerpen ini hanyalah tulisan-tulisan buat mencari matlamat cinta sejati. Tiadalah Dia melainkan hadaf utama hidup. Carilah insaf dan sedar. Renungkanlah yang tersirat daripada yang tersurat dalam tulisan ini. Siapa lagi di antara kita yang memesan untuk kebenaran?”

Hutan Lipur Pulau Sendayu

HUJAN baru sahaja berhenti. Awan tebal dilangit segera meliputi purnama malam itu. Hamparan di langit tidak seindah seperti sedia kala. Tiada kelihatan bintang-bintang bertebaran di angkasa. Di suatu kampung, seorang nenek tua sedang berteleku membaca jampi mentera memuja sang pencetus kemurkaan di langit. Gemersik rimbunan dedaun rimba kelihatan seperti membangkitkan semangat manusia yang menjadi hamba suruhan iblis itu.

Mas Gemara mula mendongak ke langit. Kedua tangannya dijulang hingga ke paras kepala. Tanah tempat berpijak terasa bergegar. Bibirnya bergetar memuji penderhaka ALLAH itu. Angin malam serta merta bertiup kencang. Dahan-dahan pokok mula menujah di sana sini. Upacara pemujaan seumpama ini membuktikan kesaktian serta kepatuhannya kepada makhluk pembawa kegelapan serta kehancuran manusia di muka bumi.

“Dendam mesti dibayar dengan darah!!!” jerit Mas Gemara. Bergema sepertiga malam itu. Purnama di langit kemudian menampakkan wajahnya seakan membuktikan lagi keperkasaannya.

Kampung Hulu Belintar

ISKANDAR dan Suria begitu gembira menyambut kelahiran putera sulung mereka. Muhamad Aliff Aiman namanya. Hampir lima tahun menanti, kedatangan zuriat yang sememangnya dinantikan benar-benar membawa sinar harapan buat mereka. Kebahagiaan pastinya bakal dibawa oleh si comel itu.

“Terima kasih Su…,” ujar Iskandar sebaik melihat isterinya mula membuka kelopak mata. Suria sempat membalas seulas senyuman buat suami tercinta. Raut wajahnya, terpapar sejuta kegembiraan untuk dikongsi bersama seluruh kaum keluarga.

“Su, abang ingat nak buat kenduri kesyukuran untuk anak kita ni,” sambung Iskandar sambil mengusap lembut rambut isterinya itu. Suria tidak menjawab. Iskandar terus mengucup dahi si isteri. Suria terlena kembali dalam dakapan suaminya.

Lima tahun telah berlalu. Kehidupan mereka bertiga begitu bahagia. Iskandar masih di langgar rumah. Bermain-main dengan anak tunggalnya itu. Suria masih tak pulang-pulang  dari Sungai Segil untuk membasuh pakaian. Senja kian hampir. Mentari di ufuk telah menampakkan garis-garis putih. Sekejap lagi ia akan menolak jauh suria itu ke hujung bumi.

Iskandar mula tidak senang duduk. Kepalanya dijulurkan keluar, mendongak ke langit jingga. Bedok di surau  kedengaran dipukul-pukul. Bayangan isterinya masih tidak kelihatan. Segera dia turun ke rumah. Aliff ditinggalkan terpinga-pinga sendirian. Langkahnya deras menuju ke arah hilir. Sungai yang mengunjur ke arah Laut Cina Selatan itu akan melalui sekurang-kurangnya sepuluh buah kampung. Di situlah punca kehidupan bagi Iskandar sekeluarga.

Kegelapan malam yang semakin memekat tidak diendahkan oleh Iskandar. Berbekalkan sebatang jamung di tangan, Iskandar terus meredah belantara. Isteri tersayang mesti dicari. Kegalauan yang menujah hatinya semakin dirasai. Laungannya memanggil sang isteri bergema memecahkan kesunyian malam.

Tanpa disedari, Iskandar telah melangkah masuk ke sempadan Mukim Banjaran Denai. Langkahan derasnya terhenti. Matanya melilau ke sekeliling. Ingatannya disorot kepada peristiwa kira-kira lima tahun dahulu. Dia yakin di situlah tempatnya di mana dia dipertemukan dengan Mas Gemara yang menyamar sebagai seorang dukun tua.

Sorotan semula…

ISKANDAR dan Suria tersesat di tengah-tengah hutan belantara. Sepasang suami isteri itu sedang pulang daripada mencari kayu api untuk dijual ke kampung sebelah. Kebiasaannya sebelum malam mula melabuhkan tirai, mereka akan sampai ke rumah. Namun, langkahan mereka pada hari itu seolah-olah dipandu oleh satu kuasa jahat.

Bersambung…

p/s Ini merupakan cerpen bersiri SangMentari ketiga selepas ‘Sebening Kasihmu’ dan ‘Cedizer-XX’. InsyaAllah ‘Tangisnya Cuma Sayang Iblis’  ini akan datang dalam sepuluh sehingga lima belas episod. Nantikan ya sambungannya.