pink untuk apa

BILA ada orang tanya, pink itu tandanya apa. Aku jawab ‘nafsu’. Dia tak terima. Dia kata pink itu erti kelembutan. Kedamaian. Juga mungkin ketenangan.

Ya, dia betul. Aku salah. Dan hakikatnya aku sudah mengaku kalah. Aku terima bahawa pink itu bukan sahaja membawa erti nafsu. Ungkapan yang sering manusia salah ertikan.

Aku mengkaji. Benar, pink itu memberi kelembutan dan ketenangan. Sehingga wujud kajian yang mengatakan bahawa sekiranya warna pink diberikan kepada atlit sukan sebagai jersi, beg atau kasut, ia boleh melunturkan semangat mereka kerana kuasa aura warna pink tersebut!

Mereka di penjara juga boleh menjadi jinak setelah didedahkan dengan suasana pink! Nah, ini adalah kenyataan. Semua harus terima. Jangan ada bertapi-tapi.

Seorang penulis psikologi, Kendra Van Wagner berkata, pink itu warna cinta. Katanya juga, pink adalah warna romantik.

Aduh, andai ini yang kukatakan padanya tentu sahaja dia merenta-renta, tak terima. Kali ini jangan salahkan aku, ya. Ini ungkapan yang dipinjam. Bukan dariku sendiri.

Sekarang, kau tahu bukan pink itu untuk apa?