KEMANUSIAAN kekadang mengajar orang makna ikhlas. Budi yang dibayar dengan nilai yang tinggi. Tidak semua manusia tahu di mana mulanya kejadian keluhuran. Apakah ia suatu yang harus diperhalusi?

Engkau tahu erti kemanusiaan?

Apa pula yang sering dikata murni? Mungkinkah aku telah dilarikan daripada nilai perasaan kemanusiaan itu?

Aku tidak mahu menafikan bahawa setiap manusia punya harga sendiri. Malaikat yang dihantar olehNya supaya sentiasa mengekori aku pun tak habis-habis memberi nasihat. Si Setan pula tak henti-henti memberi hasutan. Siapa yang harus diikut?

Jangan sesekali berhenti daripada tasbih kepada Maha Pencipta. Dia yang semestinya kita, aku dan engkau junjung. Dia yang harus dipatuh oleh sekalian jagat. Aku tidak berbohong kali ini. Engkau pun tahu bukan akibatnya jika kataku ini dusta.

Terkadang aku sendiri terfikir; benarkah aku telah dijarah daripada kemanusiaan? Engkau mahu tahu jawapannya.

Biarlah aku menjawabnya,

Kemanusiaan itu akan pergi tika manusia sudah hilang nilai perikemanusiaan. Sifat kasih sayang telah tiada. Tahu bagaimana kekejaman Barat menghukum saudara kita? Apa alasan mereka?

Oh, mereka kata itu hanya bedilan balasan atas kekejaman kita terlebih dahulu. Kasihan, kita juga yang dipersalah. Mereka semua benar.

Jika begitu, tidaklah dikira berdosa jika engkau melempar bom penghancur seluruh praja kafir itu. Engkau juga punya alasan. Katakan sahaja; lemparan itu hanyalah sekadar membalas apa juga yang telah kau lakukan.

Ya, dunia ini tidak jarang dikata kejam. Sering kali tamadun dahulu menjadi bukti kehancuran alam ini. Kerajaan besar tetiba musnah. Kenapa? Lupakah engkau semuanya itu kerana tiadanya persepakatan.

Ingat lagi pembunuhan pertama di alam?

Terima kasih atas anggukanmu itu. Kutahu kalian semakin memahaminya. Kabil dan Habil, anak Adam sendiri yang mencetuskan pembunuhan pertama di alam ini. Hanya kerana wanita. Kerana perempuan, kemanusiaan serta-merta lucut dari pegangan.

Jadi aku harap engkau dan aku juga tidak lupa sentiasa bahawa kita bernafas hanya menuju ke suatu titik yang tidak bernoktah. Mengapa harus dikejar pernoktahan maya itu?