Srikandi Hati

SEMALAM  dia menendang hatiku lagi. Bukan tendangan maut. Tidak juga panahan tajam yang menusuk pedih ke dasar jantung. Aku terkedang.

Saat inginku menereluh, dia meresap ke sukma membisu. Kucuba kesip-kesipkan mata. Bayangannya tetap menghantui. Entah apa yang membuat jiwaku lekas tewas.

Rebah pada perasaan sendiri.

Sejujurnya, aku teramat resah tatkala jari-jemari ini kugerak. Menulis sesuatu yang dikira luar daripada prinsipku. Aku bukannya gemar berkongsi sesuatu yang menyentuh peribadi. Ya, mungkin apa yang akan kusampaikan ini terlalu mahal untuk dikongsi sama.

Semakin rajin kumenulis di sini, semakin kuat juga godaan mendatang. Aku tahu, itu hanyalah mainan jiwa. Ibu selalu berkata selagi masih menuntut ilmu, yang lain jangan difikir. Ironinya, aku sendiri akan dicari-cari tatkala selesai semuanya.

Ibu, ketahuilah bahawa ilmu yang dibutuh tidak akan berakhir dengan segulung pengiktirafan. Bukan juga setakat digelar seorang perawat pesakit. Aku tahu, ibu terlalu takut. Bimbang aku tewas dalam deras pasang surut sungai yang kualirkan sendiri. Manusia sukar melakukan dua perkara dalam satu masa, itu juga kata-katanya. Aku tertewas.

Bagaimana harusku mengisih antara hakikat dengan kenyataan? Bukankah kedua-duanya berhala tuju yang sama? Teman, tolonglah aku mendepani semua ini. Aku lemah.

Jiwaku merenta-renta, membentak marah.

Sering kali kuuntai ungkapan muhabat. Mungkin ada yang masih kurang mengerti. Aku gemar mengertikan ungkapan muhabat itu dengan cinta. Setiap yang bergelar manusia berhak untuk mempunyainya. Itu fitrah. Jangan sekali-kali salahkan ungkapan itu. Kerana kita sendiri  seharusnya memastikan muhabat itu tidak lari dari pegangan asal.

Teman, maafkan aku jika entri kali ini membuatkan kalian membenci. Menghadirkan kacau di benak. Jika ada yang mahu menyisih, aku juga rela. Aku bersedia jika SangMentari akan kembali sepi selepas ini. Aku bukannya manusia sempurna. Jangan sekali-kali menganggap diriku seorang dewa. Aku juga manusia biasa.

Jujur kukatakan bahawa aku telah temui muhabat yang dicari. Cinta yang didamba setiap insan. Aku sudah jemu membohongi diri sendiri. Apa ertinya hidup di dalam bayang-bayang sendiri yang akhirnya memakan diri.

Sekian lama kucari-cari, dia hadir di saat aku memerlukan suntikan buat kalbu yang berolakan. Pendamai bagi emosi yang kelesah.

Hari ini aku mungkir pada janjiku selama ini. Ibu, maafkan anakmu ini. Mungkin aku terpaksa menderhakaimu…

Tuhan, terima kasih kerana menghadirkan rasa ini kepadaku. Aku amat berharap agar rasa ini terus kekal tersemat di hati. Mungkin kerana keadaan mampu mengubah rasa. Entri ini sebenarnya berkisar tentang perjalananku kini di Malaysia. Suasana yang menemukanku dengan srikandi yang dicari. Hidup yang penuh dengan ketenangan.

 

p/s Setiap kali pulang ke Malaysia, seharian aku akan berada di sini. Ibu sentiasa mahukan aku pulang. Mahu menimba ilmu sebenarnya. Hakikatnya, setiap perkara yang disampaikan itu adalah lebih berharga daripada setakat kita meneguknya semata-mata. Klik sini untuk mengenali srikandi hatiku.