Klik sini untuk Sebening Kasihmu bahagian 2

BAHANGNYA kota Kaherah langsung tidak dirasa. Alat penghawa dingin di masjid ini seakan membawa pergi wap-wap panas keluar jauh ke gurun sahara. Aisyah dapat merasa elusan rahmat kasih sayang Allah S.W.T. Rumah-Nya ini dirasa begitu tenang sekali. Mendamaikan jiwa.

“Sayang, kenapa tak makan lagi?”

“Eh, abang…” suara Amri benar-benar mengejutkannya. Menyedarkan kembali daripada lamunan silam. Saat itu dirasa begitu pantas berlalu. Sebuah gedung ilmu besar buat membentuk jati diri. Kota yang dianggap sebagai pusat pentarbiahan dirinya. Di situlah Aisyah banyak belajar erti sebuah kehidupan. Hidup tidak semestinya dipenuhi dengan kerlipan cahaya bintang. Adakalanya ia akan pergi di saat kita benar-benar mendambakannya.

 1999 – Lorong Kecil Pinggiran Sungai Nil, Kaherah

MALAM bungkam. Suram hanya diteman oleh cahaya murup pesisir Sungai Nil. Airnya mengalir tanpa pernah berdalih. Keagungan kurniaan Tuhan ini menjadi lambang kekuasaan dan keajaiban alam. Aisyah merenung sendiri…

“Kamu ada kat sini?”

“Eh, Shoukri.”

“Sorang-sorang kat sini, kenapa?” Shoukri merapati Aisyah. Turut memandang ke jihat hadapan. Pandangan terbuka luas.

Beberapa buah kapal kecil sedang berlegar-legar tidak bertuju. Gadis itu terus menghilang. Membiar fikiran liar menanar ditiup sang bayu.

“Kamu percaya pada jodoh?”

“Jodoh pertemuan?”

“Ya, ikatan murni antara dua hati.”

“Aku kurang arif untuk berbicara tentang itu.”

“Selalunya orang yang termenung sendirian begini, fikirannya tentu sekali…”

“Tidak, Shouk… ” Aisyah segera memintas kata-kata Shoukri. Suasana sepi. Hening buat seketika. Tiupan angin semilir menghadirkan kesegaran yang sekejap. Sekali ia pergi, sengsara itu kembali menerpa. Aisyah masih buntu.

” Kenapa lelaki terlalu pentingkan diri sendiri?”

“Apa maksudmu, Aisyah?”

“Aku tahu, cinta tidak boleh dipaksa-paksa. Tapi apakah erti sebuah percintaan kalau kejujuran tidak bertapak di hati.”

“Aisyah, aku masih tak mengerti apa yang kau cakap?”

“Shouk, hidup di sini banyak sekali mendidikku. Mesir mengasuhku untuk lebih tega pada hidup. Sungai yang mengalir ini mengajarku erti sebuah penderitaan.”

Sayup-sayup kedengaran laungan azan. Sahutan itu terus kedengaran dari pelbagai corong. Sepasang manusia itu masih berada di situ.

“Aisyah, kalau aku ada buat salah… maafkan aku. Jika ada pada tingkahku yang membuatkan hatimu membenci… aku mohon ampun. Jangan buat aku begini.”

“Aku tak berniat untuk mengheret sama kau ke dalam masalah peribadiku. Tapi aku sunyi Shouk. Aku buntu. Aku tak tahu pada siapa lagi harusku temu?”

“Aisyah…”

“Shouk, selama aku kenal kau, aku tak pernah anggap kau lebih dari seorang teman. Kau kuanggap sebagai saudaraku. Darah dagingku sendiri. Cuma, hari ini… hari ini aku nak kau selami hatiku. Aku ingin kau perhalusi jiwaku. Aku perlukan seseorang saat ini. Aku butuhkan panduan.”

“Apa maksudmu?”

“Aku seolah hilang diriku sendiri, Shouk,” rintih Aisyah. Suaranya mendesah. Mendung yang berarak di jiwa hanya menanti untuk menyimbahkan hujan kesedihan. Pilu petaka yang seakan tidak berpenghujung.

“Aku tak pernah nampak kau macam ini. Kau kuat, Aisyah. Kau perlu buktikan bahawa kau wanita yang unggul. Bukankah itu janjimu suatu masa dulu,” ujar Shoukri, bernada memujuk. Memberi suntikan semangat yang kian menghilang.

“Sungai Nil dan piramid tidak bisa dipisah. Ibarat sepasang ciptaan yang sungguh istimewa. Bumi Anbiya’ ini pun sepertinya sudah lekat dengan jiwa para ulamak. Terlalu sukar untuk pisahkan mereka semua.”

“Aisyah, hidup kita ini hanyalah mencari bekalan untuk hari kemudian. Jangan sesekali tangisi penderitaan maya yang sekejap. Dunia ini hanya mimpi. Bukalah matamu itu, Aisyah. Jangan biarkan hatimu buta. Leka pada kelalaian yang tidak semenggah.”

“Kau tak faham perasaan aku, Shouk. Aku yang tahan semuanya. Aku tak kuat. Aku lemah Shouk…”

“Apa yang kau cakap ni?”

 

Bersambung…

 p/s Koleksi cerpen SangMentari telah kuletak di bahagian pautan kategori bacaan.