Aku bukan pembunuh

FAJAR sidik mula mengengsot. Langit angkasa masih langking, gelap tidak berkiblat. Kerdipan bintang mencerlang seminau. Aku tertoleh-toleh.

Semua penghuni rumah masih dibuai mimpi. Nafas yang tersekat di rakungan, mengiramakan melodi yang tidak dibutuh. Si unda di bilik masih belum tersedar. Si adik uncu pula pasti sahaja mati dalam mainan tidur.

Kisah ini berlaku bersanat-sanat yang lampau. Aku melangkah bersenoyong, tidak berjihat. Pandangan kabur. Jiwa berolak-alik. Peluh yang meranai sedari tadi tidak kuendah. Aku hilang pedoman.

Dalam keranapan malam yang memekat, aku meredah. Tiap-miap halangan yang wujud di benak, kurampat. Misi mesti dibuat. Ikrar yang dijanji, tidak akan sekali dilanggar. Pasti dilunas.

Senjata di tangan kugenggam kukuh. Ini adalah jalan muktamad. Usah ditagih pada prakarsa yang tidak bertuan. Langkah kuayun lebih deras. Bersigap pada kelangkaan.

Mata kurenung tajam ke arah mereka. Bukannya  aku mahu bertapi-tapi, namun mereka yang menyimbah api. Seakan sengaja menggiring ke medan tempur. Mereka akan kumati kumlahkan. Ini janjiku.

Pannggg!!!

Satu daripada mereka gugur. Sempat juga kuprangas-pringuskan mereka. Aku tidak suka untuk bercakap langguk. Namun, hakikatnya memang mereka bukan cabaranku. Entah kenapa, aku begitu tega melakukannya. Tiada langsung belas kasihan. Jauh sekali punya nilai kemanusiaan.

Pernah kubayangkan bahawa aku akan pulang dengan terkecak-kecak, namun mereka yang akhirnya terincang-incut. Usah mencabar wibawa lelakiku.

Sekali disentuh, sepuluh kali kutumpas-langiskan.

Saat kukenang kembali waktu itu, air mata menitis sekonyong-konyong, meranai berderai-berderai. Betapa besar dosa yang telahku lakukan. Ah, aku mungkin tidak mampu menyucikan kembali kesilapan itu. Aku takut. Aku takut!!!

Habis satu, satu lagi kubunuh. Selesai yang itu, yang ini pula kukerjakan. Manusia jenis apakah aku ini? Naif pada setiap yang ditindak. Tumpas pada nafsu yang keburu.

Tuhan, apakah aku manusia yang hamik? Apakah ada lagi jalan untukku melakukan taubat? Apakah juga masih punya pintu untukku kembali semula ke lorongmu Ya Allah???

p/s Coretan ini adalah sebagai mengisi ruang hati yang kosong. Mengimbau kembali saat zaman kanak-kanak yang penuh dengan keceriaan. Sejujurnya, aku semasa zaman kanak-kanak dulu agak suka membunuh semut-semut yang ada di sekitar rumah. Mereka kuanggap sebagai musuh. Sedangkan aku adalah perajurit suci. Membunuh tanpa ada rasa simpati. Apakah aku dikira pembunuh?