Berserah pada tuhanTolong selamatkan mereka!

BUNYI-BUNYI itu kian membingit. Sesekali kedengaran dentuman yang semakin menggila. Bumi dipijak serasa bergegar di sana sini. Langkah yang digerak kuayun lebih deras lagi.

Serpihan-serpihan logam dilihat melayang merata tempat. Sesekali mengena tubuhku. Ah, panas! Bahang api dan bara yang memenuhi ruang pandanganku membuatkan peluh yang dikesat, berjejeran tidak sudah. Asap tebal kian melitupi suasana.

Nafas yang tersisa kutarik sepantas mungkin. Degupan jantung semakin kuat. Aliran darah ke  situ juga kurasa mengalir sepantas yang pernah dialaminya selama ini. Kekuatannya benar-benar teruji. Mampukah tubuh ini untuk terus bertahan. Aku pasrah kepada-Nya.

Boom!!!

Lagi sekali objek sial itu gugur di tanah bersih ini. Titisan mata yang mengalir sedari tadi kubiar pergi. Fikiran yang semakin membejat kupaksa-paksa kembali tenang. Kutarik nafas dalam-dalam…

Allahuakbar!

Ah, kelenyuk di sendi-sendi menghapus niat yang membutuh. Aku Rebah. Terpunduk. Kubangun kembali, langkahan ini tidak akan sekali-kali terhenti.

Aku melangak ke atas selajur melangak-longok ke sekeliling. Puluhan semut hitam berterbangan di sana. Jet milik pejuang iblis itu semakin galak menyerang. Mereka benar-benar mendesar darahku.

Anak-anak kecil bertempiaran ke jihat yang tidak bertuju. Si ibu dan bapa sibuk menyelamatkan nyawa sendiri. Jeritan ketakutan menjadi irama melodi, beragaman tiada henti.

Kutarik tangan seorang anak kecil. Dalam pelukan yang kukuh kejap, kugendong anak itu merentas hujan yang kian mengganas. Hujan objek ini kulihat tidak akan ada hentinya. Sekali ia gugur ke tanah, pasti berkecai seluruh jasad.

Dalam keributan itu, tiba-tiba sahaja kurasa diriku dihembus kasar. Tubuhku melayang tinggi. Kulihat sepasang tangan bercerai dari sendi di bahu. Kedua kaki tersembam ke tanah. Badan yang masih bersisa kian menghancur. Ah, tidak mungkin!!!

Kulihat jam di tangan. Tepat jam lima pagi waktu Kaherah…

p/s Mimpi ngeri ini kuharap benar-benar menjadikan aku lebih insaf merenung diri. Sejauh mana kesedaranku terhadap penderitaan mereka. Aku tidak akan berhenti menulis tentang mereka. Mereka bukan sahaja perlukan teman. Bahkan jauh dari itu. Bantulah mereka selagi termampu. Atau cukup sekadar doa dari kita…