Cerpen ini merupakan sambungan bahagian kedua bagi cerpenku sebelum ini Sebening Kasihmu (klik sini).

“LIN, aku tak bermaksud nak tinggalkan kau. Bukan niatku untuk membuang kau. Aku sayangkan kau. Cuma…”

“Cuma apa Am? Cuma kerana kau masih belum mahu mengaku. Tak mahu bertanggungjawab atas apa yang kau sendiri dah lakukan.”

“Lin, aku tak maksudkan macam tu. Aku cuma nak kau faham. Kita masih muda. Belajar pun tak habis lagi. Sebab tu aku tak boleh terima dia. Aku belum cukup bersedia.”

“Habis kau nak suruh aku buat apa… Apa aku nak buat pada bayi dalam perut ni? Ini anak kau Am. Anak kita!”

“Lin…”

“Kau kejam Am. Kau terlalu keji. Jijik! Baru kini kutahu langit itu tinggi atau rendah. Habis madu, sepahnya kau buang sahaja!”

Mutiara Rini, Johor Bahru – 7 Januari 2009

“ABANG, kenapa ni. Ada masalah ke kat office tadi?”

“Tak ada apa-apalah, sayang. Cuma fikiran abang aje ni yang terganggu,” balas Amri, cuba menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuan Aisyah. “Awak sayangkan saya?”

“Eh, abang ni? Kenapa tanya soalan macam tu pada Sya?” ujar Aisyah. Hampir-hampir sahaja tersedak dibuatnya sebaik mendengar soalan tersebut.

“Saja je tanya. Nak tahu jawapan ikhlas daripada mulut isteri abang ni.”

“Abang, Sya dah tak ada siapa lagi kat dunia ni. Sya cuma ada abang sorang je. Sya  nak abang tahu yang kasih Sya pada abang melebihi sayangnya Sya pada diri Sya sendiri. Sya cintakan abang sedalam-dalam hati Sya. Hanya Tuhan sahaja yang tahu isi hati Sya.”

Tidak semena-mena, kolah takungan air matanya itu tumpah. Segera mengalir tanpa dipaksa-paksa. Entah mengapa, hatinya begitu tersentuh setiap kali mengenang kembali sejarah hidupnya yang lalu.

Aisyah tidak pernah mendengar suara daripada seorang ayah. Tidak juga pernah merasa belaian daripada seorang ibu. Mereka pergi sebelum dia sempat melihat alam maya ini. Membesar bersama kanak-kanak yatim yang lain benar-benar menduga kekuatan. Mendidik jiwanya agar lebih tegar dalam menempuh rona-rona hidup. Tabah pada segala kesusahan.

“Ingat Aisyah, setiap kita adalah cerminan bagi ibu dan ayah kita. Kalau baik budi kita, baik jugalah ibu ayah kita. Buruk pekerti kita, cela mereka berdua.”

“Rasulullah S.A.W juga ada bersabda kepada kita bahawa wanita-wanita solehah ialah mereka yang taat kepada Allah dan berlaku baik di belakang suaminya, oleh kerana Allah telah memelihara mereka,” ujar Sheikh Yousef Daud lembut. Jelas terpapar ketenangan dalam setiap bicaranya. Wajahnya bersih. Tawaduk pada sikapnya itu membuatkan sesiapa sahaja senang untuk mendekatinya.

“Baginda juga menambah, dunia ini adalah laksana perhiasan dan sebaik-baiknya perhiasan adalah isteri yang solehah. Sebagai wanita, kamu ada batas-batas yang perlu kamu patuhi. Jadilah wanita yang terbaik. Seunggul Saidatina Aisyah. Cubalah untuk menjadi sepertinya, Aisyah.”

Pengajian petang itu amat mendamaikan. Sheikh Yousef banyak membicarakan berkenaan tanggungjawab seorang wanita terhadap diri. Batas-batas pergaulan yang mesti dijaga.

Perkara-perkara asas sebagai seorang suri rumah tangga turut disentuh. Hanya Aisyah, Fatma dan Yasser sahaja yang hadir pada petang itu. Sheikh Yousef Daud dianggapnya sebagai ayah kandung sendiri. Setiap hari Rabu dan Jumaat, Aisyah akan mengunjungi rumah Sheikh Yousef untuk mendalami ilmu agama. Kadang-kadang, kelas pengajian itu akan diadakan di masjid berdekatan dengan rumah Sheikh Yousef. Aisyah tidak pernah ketinggalan mengikuti semua kelas-kelas pengajian tersebut.

Hari Rabu, dia akan mendalami kitab Tafsir Ayat Ahkam manakala pada hari Jumaat dia akan mengulang ayat-ayat hafalan Al-Qurannya. Pada masa-masa yang lain pula, Sheikh Yousef akan mengajar kitab-kitab yang lain, mengikut permintaan Aisyah, Fatma dan anak-anak muridnya lain. Fatma dan Yasser pula bukanlah orang lain. Mereka berdua merupakan anak saudara kepada Sheikh Yousef sendiri.

“Suami isteri yang betul-betul saling mencintai akan menunjukkan cintanya dengan tingkah laku yang lemah lembut setiap hari. Membantu menyiapkan pekerjaan peribadi dan rumah tangga secara bersama,” sambung Sheikh  Yousef.

Bahangnya kota Kaherah langsung tidak dirasa. Alat penghawa di masjid ini seakan membawa pergi wap-wap panas keluar jauh ke gurun sahara. Aisyah dapat merasa elusan rahmat kasih sayang Allah S.W.T. Rumah-Nya ini dirasa begitu tenang sekali. Mendamaikan jiwanya.

“Sayang, kenapa tak makan lagi?”

“Eh, abang…” suara Amri benar-benar mengejutkannya. Menyedarkan kembali daripada lamunan silam. Saat itu dirasa begitu pantas sekali berlalu. Sebuah gedung ilmu yang besar buat membentuk jati diri. Kota yang dianggapnya sebagai pusat pentarbiahan dirinya. Di situlah Aisyah banyak belajar erti sebuah kehidupan. Hidup tidak semestinya dipenuhi dengan kerlipan cahaya bintang. Adakalanya ia akan pergi di saat kita benar-benar mendambakannya.

Bersambung…