serigala jadian

SIANG dia manusia. Malam pula berlewar sebagai serigala. Mungkin sahaja mengaum-mengaum seakan sang rimau. Tatkala sampai ke malam jumaat, bulan pula memancar  tepat ke arahnya, segalanya pasti berubah. Peristiwa aneh itu berulang lagi.

Manusia berubah menjadi serigala. Ya, manusia haiwan. Lebih tepat kusebut sebagai serigala jadian. Merobek-merobek mayat mangsa tanpa ada rasa simpati. Lagak seperti seekor penyerang yang lapar. Meratah daging sehingga bersih, tiada sisa ditinggal.

Aku tertarik pada satu artikel yang tersiar di akhbar. Manusia sebenarnya mampu berubah menjadi serigala. Mahukah kita menelan mentah-mentah ungkapan ini? Apakah benar serigala jadian wujud di alam nyata?

Jelasnya teori ini telah diperhalusi dengan pelbagai bentuk kajian. Di zaman dahulu juga, wujud cerita-cerita yang mengaitkan manusia dengan serigala. Karut? Perlukah untukku membuang jauh-jauh rentetan sejarah ini? Benar atau tidaknya, sebagai insan yang punya akal waras, wajar kita berfikir secara matang.

Bukannya niatku untuk mengiyakan kenyataan ‘bodoh’ di atas. Hujahku mudah. Pokok tidak akan bergoyang jika tiada siapa yang meniupnya. Laut pula tidak pernah kering kerana ada putaran silih berganti pasang dan surutnya. Alam yang indah ini juga tersusun hebat lantaran ada penciptanya Yang Maha Agung.

Herodotorus, sejarawan Yunani contohnya pernah menyatakan bahawa suatu masa dulu, wujud puak Neuri di mana mereka itu mampu menjadi serigala jadian dalam masa beberapa hari di dalam setahun.

Pada tahun 1573 pula, seorang lelaki Perancis, Gilles Garnier telah dibakar hidup-hidup kerana telah membunuh ramai kanak-kanak.

Melapah daging mereka hidup-hidup. Dia sendiri mengaku bahawa dia telah diberi suatu kuasa magis oleh syaitan ketika berburu di hutan untuk berubah menjadi serigala. Kegiatannya itu akhirnya terbongkar setelah beberapa saksi melihat dia sedang melakukan perbuatan itu.

Menurut pakar penyelidik pula, cerita serigala jadian ini mungkin sahaja berlaku disebabkan oleh penyakit mental luar biasa. Dipanggil sebagai ‘lycanthropy’. Ya, Richard Noll juga ada menyatakan bahawa seseorang yang menghidap lycanthropy ini  boleh sahaja merasakan diri mereka benar-benar menjadi serigala. Seakan mempunyai kuku yang tajam dan ditumbuhi bulu.

Dari segi penyakit genetik pula. Terdapat juga hasil selidik yang menyebut bahawa serigala jadian ini hanyalah cerita di sebalik penyakit ‘Hypertrichosis’. Pesakit hypertrichosis ini biasanya akan ditumbuhi bulu yang banyak di seluruh tubuhnya sehingga rupa bentuknya berubah seakan-akan serigala.

Laporan juga menunjukkan bahawa seorang daripada 340 juta penduduk dunia menghidap hypertrichosis!

Mungkin sahaja tiadanya kajian-kajian yang mendalam pada masa dahulu menyebabkan mereka mudah percaya pada momokan cerita dongeng ini. Mungkin ada benarnya. Mungkin juga sekadar sembang-sembang di kedai kopi. Sejarah telah tercatat. Kajian telah dijalan. Kita sebagai makhluk terbaik ciptaan-Nya, seharusnya boleh menilai sendiri.

Tepuk dada. Tanya akal, soal pula pada hati, bicaralah dengan iman. Semoga didorong oleh pemikiran yang bersih.

p/s Biarlah menjadi sumpahan orang. Menjadi manusia di siang hari, serigala pula di malam hari… Asalkan tidak menjual prinsip, menjadi tunggangan syaitan dan iblis.