Hidup Bukan Judi

BAGI sepuluh dapat seratus. Beri seratus dapat pula seribu. Kalau seribu, mungkin sahaja boleh dapat berpuluh-puluh ribu. Hidup bukannya satu perjudian. Mudah untuk dijual-beli. Bebas untuk diperdagang.

Kenapa manusia-manusia robot gemar menjadikan hidup seakan permainan layang-layang. Yang salahnya bukanlah si layang-layang. Memang ia dicipta untuk dimainkan sebegitu rupa. Berbentuk segiempat, mungkin juga dengan rekaan-rekaan menarik yang lain. Ada pula tali benangnya untuk ditarik-tarik, dilepas-lepas.

Sedikit-sedikit layang-layang itu akan naik ke atas. Menari-nari mengikut irama yang dimainkan oleh sang angin. Kalau tiada kepakaran, mungkin juga ianya akan jatuh menghunjam, tersembam ke tanah.

Tertarik hatiku untuk menulis tentang judi. Ya, judi. Hidup yang kekadang kita sendiri tidak sedar bahawa sedang diperjudi oleh ratusan atau mungkin juga ribuan manusia-manusia patung. Mungkin tidak salah jika kukatakan manusia yang tiada akal pertimbangan. Tidak punya mahkota agung yang dikurnia khas buat setiap makhluk bergelar manusia.

Lihat sahaja situasi yang sedang berlaku di sekeliling kita. Aku bukannya mahu menyalahkan mana-mana pihak. Jauh sekali untuk menuding-nuding ke batang hidung orang lain. Namun, apakah kita tidak boleh berfikir sejenak sebelum bertindak. Apakah setiap nafas yang disedut lalu dihembus keluar itu adalah percuma? Bolehkah ianya diganti jika bekalannya sampai kepada tahap kehabisan?

Mudah sekali setiap nyawa dihabisi.

Eh, senang benar mereka melihat nyawa-nyawa pergi!

Bergelimpangan di sana-sini. Apakah itu yang dikatakan perjuangan. Misi membalas dendam berpaksikan alasan bahawa mereka yang terlebih dahulu diserang. Darah mesti dibalas darah. Setiap nyawa mesti juga dibalas dengan nyawa.

Tetapi, kenapa mesti berbunuhan. Mengapa mesti sampai ke tahap begitu rupa? Di mana rundingan yang sekian lama diuar-uar? Mana pula saudara-saudara yang dipukul canang sebagai gergasi hebat sebelum ini?

Itulah manusia. Manusia robot sebenarnya. Bertindak hanya mengikut sistem yang memandunya. Jika diarah ke kiri, ke kirilah ia. Kalau disuruh ke kanan, maka ke kanan jualah si robot itu. Tidak punya fikiran waras. Jauh sekali ada rasa perikemanusiaan. Hanya mengaku sahabat di kala senang. Kawan ketika gembira.

Namun tatkala duka dan derita dialami, tiada siapa pun peduli.

Mudahnya nyawa pergi

Kerana itu, aku katakan bahawa mereka sedang memperjudikan hidup. Setiap nyawa  dipenggal sebagai modal,  ganjaran yang menanti pula belum juga pasti. Membunuh, mengganas hanya sebagai tuntutan nafsu. Menggadai prinsip. Demi setiap impian digapai!

p/s  Ya Allah, bantulah sahabat-sahabatku yang sedang berjuang di sana. Berikanlah kemenangan mutlak kepada mereka seperti yang telah Engkau janjikan. Mati itu pasti, hidup Insya-Allah. Nyawa bukan untuk diperjudi.