MALAM itu Amri pulang lewat. Kerja-kerja yang bertimbun di pejabat membuatkannya lupa akan segala janjinya kepada Aisyah, isteri tercinta. Malam ini sepatutnya mereka berdua keluar untuk makan malam bersama bagi meraikan ulang tahun perkahwinan mereka yang kedua.

“Sayang, maafkan abang ya. Abang betul-betul terlupa. Sibuk sangat tadi kat tempat kerja,” ujar Amri lembut. Mengeluh berat sambil cuba memujuk isterinya. Rambut Aisyah dielus lembut.

“Tak apa, Sya faham. Abang banyak kerja. Lain kali aje kita dinner kat luar . Dahlah, sekarang abang pergi mandi. Salin pakaian. Kemudian, kita makan sama-sama ya. Sya dah masakkan sedap-sedap untuk abang kejap tadi.”

Sambil tersenyum, Aisyah kemudiannya bangkit menuju ke almari pakaian selajur menghulur lembut sehelai tuala mandian bersih kepada suaminya. “Cepatlah bang, kenapa tercegat lagi. Sya dah lapar tau. Dah naik masam bilik kita ni,” ujar Aisya manja.

Tidak pernah sekali-kali dia merungut atau mengeluh di atas kesibukan suaminya itu. Jauh sekali untuk meninggi suara. Amri dianggapnya sebagai cinta pertama di dalam hidupnya. Aisyah Elyana merupakan wanita yang tidak pernah mengenal erti cinta. Cinta itu hadir setelah dia bertemu dengan insan bernama Kamarul Amri bin Khalid. Ya, lelaki yang langsung tidak pernah hadir dalam hidupnya selama ini.

Air mandian yang mengena ubun-ubun kepala terasa sejuk sekali. Dibiarkan ianya mengalir ke semua tubuh. Urat-urat darah serasa mengalir pantas ke seluruh anggota. Kesegaran mula diraih. Penat yang membaluti diri segera terlerai. Tidak semena-mena ingatannya kembali disorot kepada peristiwa sepuluh tahun yang sudah…

Kota Kaherah – 20 Januari 1999.

UDARA malam terasa nyaman. Deru angin dilihat menujah-nujah pepohon yang masih berdiri kukuh di Perlembahan Nil.  Suhu yang dicatat ketika ini ialah 12 darjah celsius. Sejuknya serasa mencengkam. Menggigit-gigit ke seluruh tulang-temulang. Anak-anak muda kelihatannya lebih senang duduk di rumah sahaja. Dalam keadaan cuaca yang tidak menentu ini, segala aktiviti terpaksa ditangguh sehingga cuaca benar-benar baik.

“Amri, tolonglah. Jangan buat aku macam ni.”

“Eh, apasal pulak. Kenapa aku yang kena bertanggungjawab? Aku tak ada kena-mengena dalam hal ini. Kita dah tak ada apa-apa.”

Suasana malam yang bungkam itu seolah dilanda ribut. Seakan tiada lagi siang buat esok. Mungkin sahaja mentari akan menemui hayatnya.

“Am, aku rayu pada kau. Kali ini saja. Aku akan sujud kat kaki kau kalau itu yang kau mahu. Aku rela. Please…” deraian air mata yang ditahan-tahan lekas mengalir. Kelopak yang menakungnya sedari tadi seakan tidak mampu untuk menahan kesedihan anak gadis itu. Darlina rebah, tersandar di tepian bukit. Memandang jauh ke jihat utara. Bintang-bintang dilihat membentuk gubahan corak yang menarik sekali. Bersinar mencerlang.

Malam indah, bermandikan kerlipan bintang itu terpaksa dilaluinya dengan hati yang memberat.  Jiwanya bergolak. Fikiran buntu. Inikah yang dikatakan tulahan buat mereka yang alpa? Manusia bodoh yang rakus mengejar dunia. Getusnya sendirian.

“Lin, aku tak bermaksud nak tinggalkan kau. Bukan niatku untuk membuang kau. Aku sayangkan kau. Cuma…”

“Cuma apa Am? Cuma kerana kau masih belum mahu mengaku. Tak mahu bertanggungjawab atas apa yang kau sendiri dah lakukan.”

“Lin, aku tak maksudkan macam tu. Aku cuma nak kau faham. Kita masih muda. Belajar pun tak habis lagi. Sebab tu aku tak boleh terima dia. Aku belum cukup bersedia.”

“Habis kau nak suruh aku buat apa… Apa aku nak buat pada bayi dalam perut ni? Ini anak kau Am. Anak kita!”

“Lin…”

“Kau kejam Am. Kau terlalu keji. Jijik! Baru kini kutahu langit itu tinggi atau rendah. Habis madu, sepahnya kau buang sahaja!”

Bersambung…

p/s  Ini merupakan bahagian pertama cerpen Sebening Kasihmu. Insyaalah akan kutulis sambungannya di lain masa.