Ini adalah sambungan daripada cerpenku sebelum ini, Cedizer-XX.  Klik sini (Cedizer-XX) buat mereka yang ketinggalan mengikutinya.

MANUSIA-MANUSIA bemata sepet bertebaran di mana-mana sahaja. Ragam mereka membuatkan aku semakin hilang panduan. Manusia berekor serigala itu benar-benar membuatkan fikiranku terbejat. Kuperhatikan suatu papan iklan besar berwarna-warni di antara beberapa buah bangunan. Tercatat di situ tulisan-tulisan yang sekali lagi membejatkan pemikiranku. Namun, satu perkataan yang ada di satu sudut papan besar iklan itu benar-benar menarik perhatianku. Menggugah jiwaku. Seakan pernah kutemuinya sebelum ini. Kutancapnya sekali lagi. Merenungnya sedalam yang mungkin. Seakan-akan tidak mempercayainya.

Ah, 1 Januari 4015! Paparan digital itu bergerak perlahan-lahan. Muncul, hilang, muncul, hilang kembali dan seterusnya, silih berganti. Seolah dikawal oleh sistem pusat berkomputer yang cukup canggih. Terlalu jauh untuk dijangkau oleh fikiran. Semuanya benar-benar membuatku terkesima sejenak. Tidak mungkin. Mana mungkin sama sekali untuk diriku berada di kurun moden ini. Kukejip-kejipkan mata. Mengesipnya berulang-ulang kali. Berpaling ke jihat kanan dan kiri. Ternyata, semuanya sukar sekali untuk diterima oleh logik akal manusia.

Kampung Jawa, Klang- 3 Januari 2009

KIRANA masih lagi mengerekot di atas tilam empuknya. Malam tadi dia pulang lewat ke rumah. Ada majlis grand gathering bersama rakan-rakan lama sekolahnya. Jam di dinding berketik kuat selajur mendering-dering kedengaran jam loceng di atas meja bersebelahan katil.

“Ira cepatlah, akak dah lewat ni,” laung Kak Suria dari luar. Diketuknya pintu bilik berkayu cengal itu berulang kali. Kebiasaannya Kirana akan menumpang kereta kak longnya itu untuk ke kolej. Sengaja Mak Kiah tidak membelikan anak bongsunya itu kereta. Memang dia awal-awal lagi melarang Kirana memandu sendirian. Bimbangkan keselamatan anak gadisnya itu.

Sepantas kilat Kirana bangkit dan menyiapkan diri. Sepuluh minit sahaja dia sudah berada di sisi Kak Suria.

“Eh, cepatnya Ira dah siap. Ira ni mandi ke tak? Lap-lap saja ya?” Ujar Kak Suria selajur mengerling ke arah adiknya.

“Tolong siket mak cik Suria, tak mainlah lap-lap tu. Kita siap berendam kat dalam bath tub tau.”

“Yalah tu cik adik, awak tu kalau cakap memang tak pernahnya nak kalah,” ujar Kak Suria.  “So, kita nak sarapan kat mana ni dik?” Pandangannya masih tertumpu ke arah lalu lintas yang semakin sibuk. Siapa yang tidak cekap, pasti sahaja akan terperangkap berjam lamanya.

“Ira dah kenyanglah kak. Ira pun nak cepat ke kolej ni. Ada projek yang mesti disiapkan minggu ni juga.”

“Wah, ada projek baru ke?”

“Alah, kerja biasa-biasa jelah kak. Kitorang kena hantar kepada Prof Zuki sebelum 7 januari ni,” balas  Kirana ringkas.

“Projek apa pula kali ni. Bagitahulah kat akak?”

“Nantilah. Akak ni kan tak sabar-sabar langsung. Nanti bila dah siap semuanya, Ira tunjukkan kat akak ya.”

Puteri Kirana Sofea Binti Megat Suffian merupakan seorang gadis genit yang aktif. Semenjak di bangku sekolah lagi dia banyak mengikuti projek-projek sains di sekolahnya. Dan minat itu terbawa-bawa sehingga dia masuk ke alam remaja.

Kini dia telah terpilih bersama tiga lagi rakannya untuk menyiapkan sebuah projek sains teknologi bersama Profesor Zuki Dahlan, seorang santis persendirian. Beliau mempunyai makmal dan markas yang menempatkan puluhan alat-alat teknologi yang canggih dan baru. Cuma tempatnya itu sahaja yang dirahsiakan.

“Ira, awak hari ni tolong saya boleh?” tanya Fuad sebaik melihat kelibat Kirana di makmal mereka. Seharian mereka berempat akan habiskan masa untuk menyiapkan projek tersebut. Masuk hari ini, sudah hampir sebulan mereka bertungkus-lumus untuk menyiapkannya. Aziz yang menjadi ketua. Halimah, kawan karib Kirana pula melengkapkan kumpulan pra-saintis mereka.

Sebenarnya kempat-empat mereka merupakan graduan lepasan daripada pelbagai bidang. Kirana dan Fuad merupakan graduan lepasan teknologi angkasa daripada Amerika Syarikat. Halimah pula lepasan mahasiswa universiti tempatan. Sedangkan Aziz, ketua misi merupakan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia sahaja. Namun, kematangan dan daya imaginasinya yang tinggi serta minatnya yang begitu mendalam di bidang sains teknologi menyebabkan tiada siapa pun mampu untuk menidakkan kemampuannyanya.

Tahun lepas sahaja, dia telah menghasilkan tiga ciptaan baru yang berjaya masuk ke peringkat akhir di Pertandingan Reka Cipta Sains Teknologi Dunia peringkat antarabangsa di Moscow, Rusia. Dan sekiranya salah satu daripada rekaannya itu terpilih sebagai pemenang, dia akan diterbangkan ke Amerika Syarikat untuk melanjutkan pengajiannya di bidang reka cipta teknologi di sana. Suatu yang diimpikannya selama ini. Harapan yang hanya bermain di angan-angan kosongnya selama ini.

“Ira, awak dengar tak saya cakap?” soal Fuad lagi. Seolah kurang berpuas hati dengan sikap dingin Kirana terhadapnya.

“Saya dengarlah boboy. Ha, awak nak saya buat apa?” balas Kirana pendek. Bersikap acuh tidak acuh.

“Wah, wah, wah, selamba aje dia panggil kita boboy. Saya pun ada nama tau, jangan sembarang aje nak bagi nama kat anak orang,” balas Fuad.

“Yang awak cepat nak melenting ni kenapa?”

“Eh, mana ada saya marah-marah. Saya suka sangat awak panggil saya boboy. Hei, nama saya Sayid Fuad Bin Sayid Ahmad. Kalau pun tak nak panggil saya Sayid, panggil Fuad pun sudahlah. Jangan nak sesuka hati nak bagi nama gelaran kat orang. Mom and my dad je yang boleh panggil saya boboy. Awak jangan nak mengada-ngada.”

“Eii, gelinya aku kat mamat sorang ni. Menyampah. Meluat pun ada. Wujud juga lelaki macam ni kat dunia kita ni ya?” bisik Kirana kepada Halimah di sisinya seraya mendengus-dengus marah.

“Ingat Ira. Dia pun tak pernah minta untuk lahir kat dunia macam tu. Ini kan kerja tuhan,” ujar Halimah. Suasana kembali hening. Bening buat seketika. Semua kembali sibuk dengan kerja masing-masing.

Kemudian Profesor Zuki muncul di pintu makmal dalam keadaan tergesa-gesa. Kemejanya bermandi peluh. Keringat di dahi menitik-nitik. Dadanya dilihat berombak deras. Dalam nafas yang termengah-mengah, tiba-tiba sahaja…

Bersambung…