Wilayah Utara, Cedizer-XX – 1 Januari 4015

MATAHARI memancar terik pagi ini. Sesekali membentuk ukiran corak yang sangat menarik apabila membias pada kaca-kaca dinding bangunan. Awan yang memutih persih kelihatan menari-nari di atas langit, berarak ditiup angin menuju ke jihat selatan. Deretan bangunan pencakar langit berceracak di mana-mana.

Di celah-celahnya ratusan makhluk sedang galak berasakan menuju ke arah tujuan masing-masing. Kota ini dikatakan mempunyai tamadun yang hebat suatu masa dahulu dan kaya dengan lipatan sejarahnya yang tersendiri.

Mengikut sejarah yang dicatat, kota besar ini merupakan antara sebuah kawasan yang pesat sekali pembangunannya pada masa lampau, beberapa ratus kurun yang lalu. Ada yang mengatakan Cedizer-XX menjadi tumpuan antarabangsa ketika itu kerana kepesatan pembangunan serta pertumbuhan ekonominya yang kukuh dan mapan.

Ada juga yang menyebut bahawa, bidang perdagangan maritim antarabangsa kota ini suatu masa dulu tersangatlah masyhur, sehinggakan tiada langsung ruang untuk kapal-kapal dagang berlabuh. Sebut sahaja kota ini, semuanya sudah maklum. Tidak kurang daripada itu, terdapat juga pendapat dan catatan yang mengatakan bahawa kota ini terkenal kerana kepintaran pemerintahnya yang cukup hebat suatu masa dahulu.

Mengikut tulisan-tulisan yang terdapat di dalam kebanyakan buku-buku sejarah, kota ini dahulunya dikenal sebagai Petrazurah. Diambil namanya bersempena dengan kelahiran putera sulung maharaja yang memerintah kota ini beberapa kurun yang lalu. Lantaran gembiranya beliau, nama kota ini pun diubah kepada Petrazurah, nama yang turut sama diberikan kepada putera sulungnya itu.

Warisan keturunan yang memerintah wilayah ini adalah bersusur-galur daripada seorang maharaja agung yang hebat sekali. Khabarnya, beliau itu datangnya daripada kerajaan yang memerintah tujuh lapisan petala langit. Hanya kerana kesemua maklumat-maklumat itu gagal untuk ditemui di mana-mana monumen mahupun sebarang catatan sejarah, maka nama maharaja agung itu pun gagal dikesan sehingga ke hari ini.

Kerajaan Petrazurah dikatakan bermula pada kurun sekitar 3050. Sebelum itu, dikatakan bahawa wilayah Petrazurah ini dikuasai oleh sebuah kerajaan yang sangat ampuh dan kuat. Wilayahnya meliputi dan mencangkupi hampir seperempat dunia.

Walaubagaimanapun, menurut orang-orang lama yang mengkaji sejarah peradaban dunia, Kerajaan Petrazurah ini sebenarnya berasal daripada sebuah nama yang lain. Dan bukannya dikuasai oleh sebuah kerajaan atau kuasa yang lain. Menurut catatan ahli-ahli pengkaji  tersebut juga, kerajaan yang dimaksudkan itu ialah Wilayah Putrajaya. Ya, sebuah kerajaan yang dikatakan telah bertapak sejak berkurun abad lamanya.  Wilayah yang rakyatnya hidup aman, harmoni dan makmur.

Wilayah Putrajaya ini disebut-sebut sebagai era permulaan dalam pembinaan tamadun Cedizer-XX yang hebat. Kemuncaknya ialah semasa di zaman kerajaan Petrazurah. Makhluk-makhluknya ketika itu semuanya hidup berdasarkan etika yang telah didasarkan oleh kerajaan. Mungkin itu yang menjadikan kota Petrazurah masyhur seisi alam.

Makhluk berupa manusia berekor serigala berlewaran di mana-mana. Fly Flasher berterbangan di sana sini. Sebuah pengangkutan udara yang sedang hebat diisu dan dibahaskan ketika ini. Baru-baru ini, beberapa buah kerajaan luar menyatakan minat mendalam mereka untuk berkongsi kepakaran dengan kerajaan Cedizer-XX.

Sejak dahulu lagi mereka berlumba-lumba untuk merisik dan merampas segala kepakaran teknologi yang ada pada wilayah Cedizer-XX sedangkan sudah berabad-abad lamanya wilayah Cedizer-XX ini mempiagamkan bahawa segala kemajuan teknologi kerajaan ini adalah menjadi rahsia kerajaan. Hatta rakyat sendiri tidak diberitahu. Hanya segelintir individu yang dipercayai sahaja dipilih untuk menganggotai barisan exco-exco kerajaan dan terlibat dalam apa jua bentuk pembangunan teknologi.

Keadaan lalu lintas tidaklah begitu sibuk seperti hari-hari yang biasa. Jalan raya dan jalan udara agak lengang. Bangunan-bangunan kerajaan dan pusat-pusat membeli-belah menghiasi pandanganku. Kesemuanya kuperhatikan mencecah sehingga ribuan tingkat tingginya. Ah, kerajaan apa ini? Pesat sekali pembangunannya. Seakan cendawan-cendawan yang tumbuh selepas hujan.

Papan tanda yang terdapat di tepi-tepi jalan kuamati dalam-dalam. Semua catatan yang terpapar di situ sukar sekali untuk difahami. Bahasa apa ini? Bentakku sendiri selajur menghambur keluhan kasar. Nafas yang bersisa kutarik perlahan-lahan, sedalam yang mungkin. Mungkin itu dapat mengembalikan semua ketenangan yang semakin hilang. Pendirian yang semakin memudar. Keyakinan yang dijarah sekelip mata. Aku tertoleh-toleh.

Manusia-manusia bemata sepet bertebaran di mana-mana sahaja. Ragam mereka membuatkan aku semakin hilang panduan. Manusia berekor serigala itu benar-benar membuatkan fikiranku terbejat. Kuperhatikan suatu papan iklan besar berwarna-warni di antara beberapa buah bangunan. Tercatat di situ tulisan-tulisan yang sekali lagi membejatkan pemikiranku. Namun, satu perkataan yang ada di satu sudut papan besar iklan itu benar-benar menarik perhatianku. Menggugah jiwaku. Seakan pernah kutemuinya sebelum ini. Kutancapnya sekali lagi. Merenungnya sedalam yang mungkin. Seakan-akan tidak mempercayainya. Ah,…

Bersambung…