Kenapa mesti berduka?Tambahkan warna dalam hidup
Kenapa mesti berduka?Tambahkan warna dalam hidup

Hari ini 1 Muharram. Hari cuti untuk semua umat Islam. Pastinya, aku akan gunakan kelepasan pada hari ini untuk mengambil semula tenaga-tenaga yang telah lari jauh ke mana-mana. Ada juga yang mungkin bertebaran jauh ke Eropah atau mungkin terlepas kembali ke tanah air tercinta, Malaysia.

Tidak semua orang mampu untuk menggunakan kesempatan masa cuti dengan sebaik mungkin. Azamku bermula hari ini ialah untuk mempelbagaikan lagi corak warna dalam hidupku. Mudah rasanya jika kusingkatkannya dengan ungkapan yang lebih mudah iaitu’variasi’.

Ya, bagiku kehidupan sememangnya indah. Terlalu sukar untuk digambar, payah untuk diungkap bahkan susah sekali untuk dipanjang-lebarkan kepada manusia-manusia lain. Jelasnya, hidup memang perlu kepada pembaharuan. Sesuatu yang pastinya berlainan daripada yang biasanya menjadi kelaziman kepada kita.

Tanpa variasi dalam menempuh hidup, perjalanan yang dilalui dirasai begitu lambat sekali jalannya.

Jarum jam yang berdetik dan berjalan pastinya juga dianggap setahun, walhal sebenarnya baru seminit ia bergerak. Bumi yang berputar bergerak mengelilingi sang suria mungkin juga dianggap tidak pernah mengurniakan pusingan malam dan siang. Segalanya tampak membosankan. Penuh dengan kemurungan. Adakah aku inginkan hidup seperti itu?

Aku bangun pagi hari ini tepat sepuluh minit sebelum masuk ke waktu subuh. Cepat-cepat  kuambil wuduk dan sempat menunaikan solat sunat tahajjud dua rakaat disertai sunat witir. Saban hari aku mengimpikan agar amalan ini dapat kuteruskan sepanjang hari. Memang ini yang sedang kuusahakan.

Lepas solat subuh, aku kembali menyambung mimpi-mimpi indah sebelum kembali menjalani kehidupan dengan mencelikkan kedua biji mata ketika jarum jam kian menganjak lima belas minit ke sepuluh pagi. Ah, lewat sekali aku bangun pada hari ini!

Terus kugunakan masa yang ada untuk menunaikan solat sunat dhuha. Kelaziman yang hanya mampu untuk kulakukan ketika waktu-waktu cuti sahaja. Suis komputer kutekan. Niatku untuk memulakan tahun baru 1 Muharram ini dengan corak yang cukup menarik. Hidup yang tidak akan membosankan.

Ceria, gembira dan terus membuatkanku tersenyum.

Corak-corak penyampaian sangmentari milikku kuubahsuai mana yang dirasa perlu. Semua kulakukan semata-mata untuk memenuhi tuntutan azam baruku. Impian untuk mempelbagaikan cara hidup dan pemikiran. Asalkan tidak terbarai dari pegangan agama. Itu yang lebih utama.

Azan zuhur yang berkumandang menyedarkanku bahawa aku telah lama berada di hadapan skrin komputer ini. Seusai sahaja solat zuhur dan mengambil sedikit makan tengah hari, aku terus menulis coretan-coretan usang ini. Ini juga merupakan antara salah satu kegemaranku tatkala ingin melepaskan tekanan dan kebosanan yang membuak-membuak.

Pastinya, selepas habis menulis ini, aku akan lakukan banyak perkara-perkara lain demi impian, azam dan hasrat tahun baruku ini tercapai…. Insyaallah.