Kucup dakaplah dia
Kucup dakaplah dia

Dia adalah makhluk indah ciptaan untukku. Tiada ungkapan secantik bidadari, seputih persih langit meluas, sehalus, selicin atau seklimis kulit-kulit telur, bahkan tidak terdaya untuk kugambar betapa agungnya nilai pengorbanannya.

Saat aku lena di dalam dakapan hangatnya, damai dalam elusan kasih sayang, tiada jemu dia menumpahkan sejuta kemanjaan, rasa cinta agung buatku. Tiadalah cukup baginya melainkan melihat si anak terus gembira, tersenyum meniti hari-hari mendatang.

Bermula sedari aku belum mengerti sepatah kalimah di alam maya, dia menyusukan lembut ke mulutku, membelai dengan penuh kasih sayang, mengajar bait-bait ungkapan mudah sehingga hari ini aku mampu bertutur lancar. Hebat berbicara. Sesekali berdebat-debat dengan manusia lain. Bukankah setiap kalimah yang keluar dan tersembul dari lidah ini adalah hasil tunjuk ajarnya suatu masa dulu. Ah, kenapa masih ada manusia yang seakan lupa semua ini?

Kenapa juga aku sendiri seolah-olah sanggup meleraikan rajut-rajut yang diciptanya kukuh kejap suatu masa dulu.

Aku adalah generasi penyambung, warisan kumpi serta moyang-moyangku dahulu. Dia juga yang bersusah-payah mengasuh, mendidik juga membuat serta menyirat jala-jala kulikat pada diriku. Kulikat? Ya, tabiat dan kelakuanku dewasa ini adalah hasil bentukan dan asuhannya suatu masa dulu. Apakah mudah  untukku cepat melupakan semuanya itu?

Saat dia semakin senja. Ketika nyawa seolah dimamah-mamah usia renta, si anak begitu mudah meninggalkannya kesepian. Kata mereka, mahu berjalan jauh. Merantau di tempat orang dan moga-moga mendapat banyak laba untuk dibawa pulang. Namun, adakah kesepiannya itu mampu terubat meski dihujani alasan sedemikian?

Mungkin juga mereka kurang atau langsung tidak mengerti setiap makna bicara manusia zaman kini. Golongan moden yang rakus mengejar arus metropolitan. Dunia teknologi katanya juga. Zaman di mana manusia akan ketinggalan jika gagal mengikut arusnya. Aku sendiri kekadang terlupa bahawa dia sebenarnya membutuhkan sesuatu yang lebih berharga daripada wang ringgit, juga lebih bernilai melebihi gunungan dan lambakan emas permata.

Kucuplah dia, rangkul dan dakaplah dia.

Sememangnya itulah yang dinanti-nantikan olehnya daripada seorang insan yang didambakannya selama ini, insan yang pernah didodoi, dicurah dan dilambak dengan limpahan rasa cinta kasih yang tidak terperi agungnya.

p/s  Semoga coretan ini dapat menyedarkan diriku kembali kepada tanggungjawabku. Hidup ini ada matlamat dan hala tuju. Namun, semuanya itu tidak akan langsung bererti jika tiada redha daripadanya. Redha Allah letaknya juga pada redha pada si ibu. Kalau ibu tak redha kepada kita, usah diharap redha hakiki daripada Allah.