Lailahaillallah!!!

Sebut sahaja tahun baru, hatiku lekas berdenyut. Aliran darah terasa pantas menyelirat ke seluruh tubuh. Menyentap sekali urat-urat jantung. Seakan menendang, menujah-nujah dada. Entah apa yang membuatkan hatiku menjadi sebegini rupa.

Kupejamkan mata erat-erat, membiarkan fikiran kosong melayang nanar bersama angin semilir. Kuimbas kembali saat-saat yang dilalui sepanjang sanat ini. Sambil mengerekot kesejukan, tiba-tiba sahaja aku terbawa kepada suatu peristiwa itu. Sejarah yang terlipat kemas dalam peradaban dunia Islam.

Apa perlu untuk kuungkapkannya kembali di kala ini? Khaibar. Ya, suatu ungkapan yang sememangnya aku nanti-nantikan sekian lama. Medan tempur itu seharusnya menjadikan diriku lebih begap membegari alam maya ini. Islam akan tertunggak jika umatnya terus memegang kejap paksi-paksi keagungannya. Tali persaudaraan jangan sekali-kali dilepas. Jauh sekali untuk dirobek-robek.

Kekuatan panji Islam yang hanya seribu enam ratus pejuang terpaksa dikerah, dijarah-jarah tenaga kudrat untuk menentang sepuluh ribu tentera Yahudi.

Ah, tidakkah ini suatu ketidakadilan? Sementelahnya Yahudi kafir itu pasti juga mempunyai berencam ayat ‘guna-guna’. Ya, mereka pasti lakukan apa sahaja demi hajat, impian dan cita tercapai. Lantaran itu, mereka mesti dihapuskan, demi keamanan Kota Madinah tidak digugah.

Dinamakan juga pertempuran Khaibar kerana peperangan ini berlakunya di perkampungan tersebut, kira-kira seratus batu jaraknya dari utara Kota Madinah. Sejarah jelas membuktikan bahawa kaum Yahudi itu benar-benar mendesar darah pejuang Islam, membuak-buak api kemarahan kaum-kaum sahabat. Mereka juga bertanggungjawab dalam membuat semua onar! Kekejaman mereka harus segera dihapus!

Baik dibalas baik, jahat pasti juga jahat balasannya.

Ternyata benarlah segala janji-janji-Mu ya Rabbi. Kebenaran pasti akan tertegak meski seakan tumbang di awal tempur, seakan tewas di permulaan medan. Saidina Ali, panglima begap yang bertanggungjawab memimpin panji Islam ketika itu gagah membunuh Marhab, ketua kaum Yahudi. Islam pasti akan menang.

p/s  Tulisan ini kuconteng tatkala ingatan ini terbawa-bawa kepada masuknya awal Muharram tidak lama lagi. Peperangan Khaibar ini berlaku pada akhir-akhir bulan Muharram tahun ketujuh hijrah. Semoga tahun baru ini menjanjikan deretan hari-hari yang lebih bermakna buat setiap insan. Ya Rabbi, Engkau permudahkanlah setiap langkah urusanku… Ameen.