Madrasah indah
Madrasah indah

Fikiran yang yang sedari tadi begenuak dengan berencam perkara cuba kulempar sejauh mungkin. Berat metah untuk kutanggung kesemua. Bila kuingat-ingat kembali, sayu pun mula meresap ke dalam kalbu. Jiwa seakan tersentuh. Kenangan lama kembali menerpa. Aku seakan dibawa kembali kepada saat-saat itu.

Mungkin ketika itu aku masih lagi suci. Bersih daripada dosa, maksiat dan cela nista. Ah, banyak sangatkah salahku di mataMU ya Rabbi! Manik-manik jernih lekas berjujuhan. Sendu di hati semestinya tiada siapa yang tahu. Entah kenapa, jiwa ini lekas sangat tersentuh bila disorot kembali ke situ.

Melihat remaja-remaja dengan seperangkat pakaian suci seakan pahlwan Islam sekali lagi hati kecilku memanggil-manggil. Meronta-ronta minta dibelai.

Ya, aku juga pernah berada dan merasa apa yang mereka sedang persembahkan.

Lilitan putih kemas di kepala setiap kali ke balaisuh kecil, seolah-olah sengaja membuatkan piluku terus beragaman tanpa henti. Ya Allah, aku benar-benar merindui saat itu. Ingin sahaja aku kembali ke detik-detik itu. Atau mungkin cukup sekadar singgah di dalam lena.

Laungan selawat pujian ke atas nabi SAW seakan sengaja mengusik-usik naluri sekali lagi. Saat aku melangkah melintasi jejantas besi, penghubung pusat pencarian ilmu dengan tempat mendapatkan rehat yang sejenak.

Sungguh, tempat itu masih seperti yang dulu.

Setiap pagi pasti akan penuh berduyun anak-anak remaja menuju ke sekolah. Mencari secebis ilmu bekalan dunia ukhrawi.

Hati yang kian mengaju cuba kupujuk kembali. Yang sudah berlalu, biarkan ia pergi. Dan aku perlu memandang jauh ke sana. Biarlah masa lalu menjadi sejarah dan memori. Aku tahu kenangan itu hanya mampu untuk kusinggahkan sahaja dibenak, sedangkan sama sekali tidak mampu untuk kukecap kembali.

Akan kuabadi selamanya tempat itu jauh di dasar sukma hati… madrasah itu selamanya bertakhta di sanubariku.

Kutulis coretan ini bersempena majlis grand gathering untuk bekas pelajar-pelajar KISAS semesir 2008 yang lalu. Melihat kembali rakan-rakan lama, serasa kembali ke alam sekolah. Saat yang penuh dengan warna-warni hidup.