Adapun peristiwa ini berlaku kira-kira seingat aku beberapa sanat yang lalu. Waktu itu usiaku sebanjar dengan anak-anak yang masih berhingusan.

“Dik, ingat pesan mama. Jangan main jauh-jauh.”

Begitu jua pesanan ibu setiap kali aku ingin melangkah keluar rumah. Sedepa sahaja aku hilang dari pandangannya, lekas-lekas mak cik Jami’ah akan keluar mencari. Ya, itulah ibuku. Insan yang melahirkanku ke alam ini. Mengajar erti derita untuk sesuap nasi. Sebelum menggerib, harus dipastikan tampangku ini sudah ada di rumah.

Tetapi, entah kenapa petang itu aku begitu nakal sekali. Seakan lupa segala pesan dan amanat daripada ibu. Erul yang turut sama mengayuh basikal, melempar senyuman. Entah menyindir atau memberi cabaran, aku pun tak tahu.

Cuma seingat aku, ketika itu aku galak. Jiwa keanakan  membuatkan aku lekas lena. Terbuai dek keseronokan yang menggila.

Pantas aku menyahut cabaran. Roda basikal gesit kukayuh. Jarak perlumbaan adalah sekitar lima buah rumah ke kiri dan ke kanan rumahku.

Ibu langsung tak tahu anaknya itu sedang menderhaka kepadanya. Maafkan adik mama…

Erul kulihat begitu pantas. Kayuhan derasnya seakan sukar untuk ditanding. Sampai sahaja di depan rumah Pak Haji Hashim, ada satu selekoh yang agak mencabar. Kemampuanku bakal diuji. Aku perlu mengelak sebatang pohon rambutan yang mengunjur ke jalanan. Namun, Ahh… roda hadapan basikalku awal-awal lagi telah merempuh salah satu batu besar yang sengaja diletak di bawah pokok itu. Badanku serasa melambung ke atas sebelum aku terpunduk dan terkedang, mengerang sakit  yang teramat. Pandangan serta-merta gelap…

Kelopak mata yang memberat cuba kubuka. Kukejip-kejip berulang kali. Sayup-sayup suara ibu membebel,mengomel meruok-ruok. Ya, ibu pasti kecewa mendapat anak seperti aku. Ibu pasti akan membebel sepanjang malam beragaman. Nafas kasar segera kulepas. Keluhan memberat cuba untuk dihambur. Aku sendiri benar-benar kecewa dengan apa yang telah berlaku.

Aku telah membelakangimu ibu… Adakah aku telah derhaka?

Ibu, kalau perbuatan anakmu ini telah menjadikan aku anak derhaka… Aku susun sepuluh jari dari hujung rambut ke hujung kaki… Ampunkanlah anakmu ini.