Bangun pagi hari ini serasa mendapat suatu semangat baru. Kembali mendapat kekuatan yang sekian lama memudar. Perjalanan hari ini juga kurasa begitu mendamaikan. Tenang dan seakan memberi satu nafas baru untuk memula hari baru. Sebenarnya, bukanlah hari baru yang aku maksudkan. Namun lebih kepada suatu lembaran baru yang akan kubuka dan singkap untuk memadam kehidupan semalam. Ya, hari-hari yang kurasa kurang memberi erti.

Di kala senja menjelang, aku menyebak helaian muka surat sebuah buku yang sudah beberapa hari berada di atas mejaku. Entah kenapa hati tersentuh untuk membaca. Senaskhah buku yang pastinya memberi bekalan amat berharga kepada diriku. Manusia yang dahagakan ilmu-ilmu berbentuk ukhrawi.

Kalau kamu rasa tak malu, maka lakukanlah apa sahaja yang kamu suka

Sepotong ayat keramat daripada habibullah nabi SAW meniti di bibirku. Mataku kembali tertancap ke arah bait-bait kalimah di helaian tersebut. Hadis ini membawa makna yang mendalam. Menusuk jauh ke kalbu. Jiwaku seakan tersentuh.

Ulama sepakat untuk menerima  bahawa yang dimaksudkan dengan makna hadis tersebut ialah sesuatu yang berbentuk tegahan dan ancaman. Rasululullah seolah bersabda:

Kalau kamu rasa tidak malu , maka buatlah apa sahaja yang kamu suka. Dan kamu akan mendapat balasan daripada Allah.

Ternyata kenyataan dan pendapat ini disokong juga dengan ayat Allah di dalam surah Fussilat ayat 40 di mana DIA juga pernah memfirmankan sedemikian kepada kaum kafir…

Maka buatlah apa yang kamu kehendaki…

Fikiran yang melayang segera berkalih kepada potongan-potongan kalimah di depanku. Ternyata ianya benar-benar berjaya memaut hatiku untuk terus menghayati helain-helaian seterusnya. Terlalu banyak yang ingin kuperoleh buat mengisi jiwa yang masih kosong.

Malu itu sememangnya penting dalam memenuhi tuntutan agama kita. Segala suruhan agama adalah berkait rapat dengan sifat ini.

Amar Makruf  Nahi Munkar

Ya, sebagai manusia kita wajib berasa malu untuk melakukan perkara yang sememangnya disuruh dan diwajibkan kepada kita. Nahi munkar? Ooh.. setiap yang ditegah oleh agama, hendaklah kita juga merasa malu untuk melakukannya…. Ahh, betapa benarnya semua pernyataan ini. suatu ungkapan yang membawa pengertian cukup besar dalam kamus hidup manusia bergelar muslim.

Aku akan sambung pembacaanku di lain kesempatan. Semoga usaha murniku ini mendapat kemudahan daripadaNYA… Insya-ALLAH