Isyarat daripada pusat baru sahaja diterima. Pesawat SpaceShipMalaya baru sahaja melepasi garisan orbit bumi. Aku lihat Raman dan Sheila begitu asyik di depan mesin komputernya. Mataku masih tertumpu ke arah satu skrin besar di hadapanku. Kuamati dalam-dalam sambil melihat keajaiban Maha Pencipta. Betapa besarnya keagungan dan kekuasaannya sehinggakan aku lupa akan semua itu selama ini.

“Man, sini kejap,” aku cuba untuk menghilangkan tumpuan sahabatku itu. Kami telah berkenal semenjak di bangku sekolah lagi.

“Apa hal ngan kau ni? Aku tengah sibuk nie.”

“Kejap je la bro…kau ni kan kalau dah buat kerja tak boleh berhenti langsung…sini lah cepat,”

Suatu cahaya yang agak luar biasa begitu menyilaukan mataku dan Raman. Aku cuba untuk melawan kilauan cahaya tersebut. Keperhatikan ianya seperti ketulan-ketulan objek. Ia bergerak secara beriringan. Bebola api itu seakan-akan bergerak menghampiri pesawatku ini. Pergerakannya seperti disokong oleh suatu daya yang begitu kuat.

Sheila kini juga telah berada di sisiku. Bagiku dialah segala-galanya dalam hidupku. Semenjak kematian kedua-dua orang tuaku, hidupku menjadi tidak menentu. Sheila sentiasa memberiku semangat untuk terus menempuh hidup ini.

Penggera keselamatan berbunyi dengan kuat. Genggaman erat tangan Sheila semakin kuat memaut tubuhku. Langkahku terhenti. Aku segera menuju ke ruang kecemasan. Pautan Sheila kulepaskan. Dua butang merah kutekan berulang kali dengan harapan bahawa pesawat ini akan segera dihentikan.

Objek itu semakin menghampiri pesawatku. Tiba-tiba, sekelilingku menjadi gelap. Aku semakin hilang panduan. Semua butang yang ada di situ kutekan. Suasana menjadi kelam kabut. Taburan bintang-bintang di angkasa sahaja yang dapat kulihat.

BOOOM….!!!

Seluruh pesawatku bergegar disertai dengan percikan cahaya yang terpancar benar-benar di hadapan mataku. Skrin besar di hadapanku itu masih tetap berfungsi. Seketika kemudian, kabin pesawatku perlahan-lahan kembali terang. Kuperhatikan objek-objek tadi seakan menjauh dari pesawatku ini. Memang sah, sebanyak sekurang-kurangnya sepuluh objek bebola api sebesar ukuran padang bola sepak hampir-hampir sahaja melanggar peawatku ini.

Aku kembali duduk di bangku automatikku. Radar yang berada di hadapanku menunujukkan pesawat rekaanku ini semakin jauh meninggalkan orbit bumi. Reka bentuk pesawat ini seringkali kuangan-agankan semenjak di bangku sekolah dahulu. Kini, aku telah berjaya merealisasikan impian tersebut. Memandang indahnya cakerawala ciptaan-Nya ini membuatku terpana seketika. Butiran dan deretan bintang bebas bertaburan menghiasi malam angkasa.

“Selamat pagi semua, hari ini saya nak memperkenalkan kamu semua kepada seorang pelajar baru di kelas ini…”

Peristiwa itu berlaku kira-kira dua belas tahun yang lalu. Cikgu Faridah masuk ke kelas 5 Sains 2 bersama seorang pelajar perempuan. Pelajar tersebut hanya menundukkan mukanya sahaja. Lagaknya macam perempuan kat dalam filem Wanita Melayu Terakhir.

“Assalamualaikum, sape nama kau?” selamba je aku tanya budak perempuan tu. Buat gaya-gaya brutal la kononnya..

“Waalaikum salam, nama saya Saidatul Sheila Binti Abdullah. Kenapa, nak kenal ke?”

Waaaaa!!!!! Dia nak kenal dengan aku!!! Petang itu jugak aku bawak Sheila pergi ke rumah aku. Sheila kata dia lemah dalam add math. Aku pulak memang expert dalam subjek ni, selalu dapat highest kat sekolah. Petang itu aku curahkan segala ilmu yang ada kat dalam dada ini kepada Sheila. Semua formula ciptaanku sendiri pun kuberikan kepada Sheila. Bak kata orang melayu, sambil kita menyelam jangan lupa minum air, so aku pun ambil kesempatan tu untuk kenal lebih rapat lagi dengan si Sheila nih. Menurutnya dia takde keluarga kat sini. Dia tinggal sorang-sorang jer. Ish, pelik gila budak perempuan nih. Nak tanya banyak-banyak, nanti dia kata aku nie busy body la pulak. Jadi, aku diam jer lah.

Suatu hari masa aku tengah  lepak kat bilik aku, handset aku tiba-tiba berdering. Sheila ajak aku keluar lunch. Walaupun baru dua bulan kitorang kenal, tapi macam dah couple. Pergi dan balik sekolah sama-sama. Aku ni pulak cuma ada basikal tua atuk aku masa zaman muda-muda dia dulu. Tapi bolehlah jugak aku bonceng si Sheila pergi dan balik sekolah. Alangkah indahnya saat itu. Aku benar-benar sedang dilamun cinta. Tapi aku tengok Sheila ni selamba je. Macam takde apa-apa perasaan kat aku pun. Apapun, aku mesti berfikiran positif. Entah-entah budak Sheila ni pun syok kat aku, Cuma dia jer tak nak tunjuk kat aku.

Petang tu aku bawa Sheila makan kat KFC. Nak makan kat tempat lain, mana la aku ada duit banyak. Duit ni pun aku minta daripada nenek aku masa nak keluar rumah tadi. Sheila nampak ceria sangat petang tu. Buat first time aku nampak dia happy macam tu. Satu yang aku suka sangat kat Sheila ni ialah dia ni tak suka bersolek macam budak-budak perempuan lain. Dia ni kira aku boleh kata simple la. Tapi petang tu dia punya bersolek lain macam. Siapa pun yang tengok mesti cairlah punya. Tapi aku buat-buat tak perasan jer kat dia. Tak nak dia perasan. Petang tu pun Sheila asyik senyum kat aku. Entah-entah budak ni dah suka kat aku tak, aku mula berangan-angan mat jenin.

Bila mamat kat KFC tu tanya aku nak order apa, aku pun tanyalah kat Sheila. Yang peliknya dia langsung tak nak order apa-apa. So, aku buat selamba je order dua set ayam goreng dengan air pepsi sekali. Masa aku sedang makan, aku tengok Sheila langsung tak jamah makanan kat depan dia. Muka dia pun tak pasal-pasal berubah. Dengan muka tempe dia pun keluarkan sesuatu daripada beg tangannya. Aku nampak seakan-akan sepotong roti.

“Sorry la Yus, I takde seleralah petang nie. You makan ye.'”

“La, takde selera apanya. Tadi punya seronok sakan, sekarang tak de selera pulak.”

Sheila hanya tertunduk lesu. Aku pulak buat-buat muka tak puas hati. Aku tengok Sheila memang benar-benar rasa bersalah. Lagi lama dia buat muka macam tu, lagi la comel mukanya. Aku pun buat-buatlah jadi lelaki yang understanding. Sebagai jejaka yang macho, aku mesti menunjukkan kehebatanku di depan wanita. Aku tak patut biarkan Sheila terus bersedih.

“Awak ni…emm…kenapa…ada masalah ke?” entah kenapa tak pasal-pasal aku boleh jadi gagap, kat depan awek pulak. Kau tak boleh takut, you must be confident. Jangan malukan kaum lelaki, aku cuba membunuh rasa gelabahku. Inilah first time dalam hidup aku terpaksa memujuk hati seorang perempuan. Orang kata hati perempuan ni susah untuk ditewaskan.

Sheila masih diam membisu. Roti yang dikeluarkannya dari beg tangannya tadi hampir separuh telah dimakan. Dia seakan bersedia untuk menjawab soalanku tadi. Matanya direnung tajam ke arah dua biji mataku. Aku pun membalas dengan panahan yang sama. Kau nak main mata dengan aku ye Sheila, aku semakin tak faham dengan apa yang cuba dilakukan oleh Sheila.

“Sebenarnya ada sesuatu yang I nak bagitahu kat you hari ni, sebab tu I ajak you keluar,” dia memulakan bicara. Aku hanya memandang wajahnya. Terpancar riak keikhlasan. Beribu persoalan bermain di kotak kepalaku ini. Eleh Sheila, cakaplah yang kau dah jatuh hati kat aku, aku cuba meneka. Atau kau nak aku yang cakap dulu kat kau. Kalau kau nak aku bagitahu kau dulu, aku pun tak kisahlah. Aku pun tahu kau tu memang menanti ungkapan keramat itu dari aku. Baiklah aku akan berterus sekarang.

“Oooh, tak per. Saya faham. Anyway, thanks sebab awak turut faham perasaan saya. Saya pun tahu dah lama awak nak berterus kat saya kan? Cuma….emm…” dengan nada yang agak serius, kutarik nafas dalam-dalam sebelum  aku teruskan kata-kataku lagi.

“Saya pun sebenarnya dah lama simpan perasaan ini. Cuma, saya takut wak, saya bimbang awak tak dapat nak terima saya. Ya lah, awak pun tahu kan saya ni siapa. Dah lah miskin, anak yatim pulak tu,” masa tu aku try buat muka sedih, saja nak mintak simpati daripada Sheila.

“Yusri…”

“Tak per, sayang. Untuk awak, saya sanggup lakukan apa sahaja. Gunung tinggi mana sekalipun sanggup saya daki, lurah dalam sanggup saya redah, lautan api yang luas pun akan saya renang…demi untuk awak, saya akan lakukan segalanya,”

“Yus…saya tak habis cakap lagi,”

Sheila terus mematahkan kata-kata pujanggaku. Entah dari mana aku dapat kata-kata itu pun aku tak tahu. Tiba-tiba jer aku boleh panggil dia sayang.

“Apa yang you cakap ni, saya langsung tak faham,”

Jantungku berdegup dengan kuat sekali. Pertama kali aku tengok Sheila begitu serius.

“Awak tak kenal saya lagi Yus. Saya bukan manusia normal,”

Eh, apa yang cuba minah ni cakap. Dia ni cacat ke? Aku tengok si Sheila ni cukup je fizikal. Takde pun yang kurang. Belum pun sempat aku teruskan kata-kata, dia terus menyambung kata-katanya.

“Ibu dan ayah saya takde kat sini Yus, saya tak der family,” Sheila terus sahaja menangis. Aku menjadi serba salah.

Dalam keadaan teresak-esak, dia menyambung, “Saya tak kisah kalau apa yang akan saya bagitahu ni awak nak percaya atau tidak. Yang penting saya perlu berterus-terang. Saya tak nak awak salah faham nanti.,”

Aku terus dibelenggu dengan jutaan persoalan. Rasa macam tak mampu nak menanggung semuanya kat kepala ni.

“Saya sebenarnya……”

Jeritan Raman menyedarkanku daripada lamunan. Bagiku, saat tersebut tak patut untuk kulupakan. Di situlah bermulanya episod suka dukaku bersama Sheila. Namun kini aku, Sheila dan Raman mempunyai satu misi yang harus diselesaikan. Radar di hadapanku kembali kuperhatikan. Semua berlancar lancar seperti perancangan asal. Bacaan penunjuk suhu juga menunjukkan bacaan yang normal. Suatu alat bacaan di hujung sudut menunjukkan   bahawa pesawatku telah 45.8 juta kilometer meninggalkan permukaan bumi. Aku cuba menoleh ke belakang melalui cermin tingkap sebesar satu kepala orang itu. Kelihatan bumi tempat ku berpijak begitu megah berada di tengah-tengah alam cakerawala ini.

Aku menyelak kembali buku Life of Astronomy, karangan seorang penulis Amerika Syarikat. Aku cuba untuk mencari lokasi yang paling sesuai untuk kudaratkan pesawat SpaceShipMalaya ini. Raman masih berada di depan skrin komputernya. Dia akan bertanggungjawab bagi memastikan seluruh perjalanan berjalan dengan lancar.

Tinggal kira-kira 40 juta kilometer pesawatku ini akan melakukan pendaratan di planet Marikh. Radar di hadapanku sekali lagi menunjukkan tanda amaran. Semua dimestikan berjaga-jaga. Ada 2 gelombang isyarat yang tidak dapat dibaca oleh alat pengesan radar. Aku mula mengesyaki sesuatu buruk akan berlaku. Di tempat seperti ini, tiada sesiapa pun yang boleh mengatakan bahawa kawasan tersebut adalah milik mereka. Namun, aku pernah terbaca suatu artikel tentang wujudnya suatu peperangan angkasa yang akan berlaku pada masa akan datang. Adakah peperangan ini akan berlaku ke atasku?

Aku mengarahkan Sheila supaya menuju ke pit kecemasan manakala Raman kuarahkan supaya terus mengawal pesawat ini. Apa-apa kemungkinan sahaja boleh berlaku. Segala persiapan perlu dilakukan seberapa segera yang mungkin. Isyarat kecemasan kembali berbunyi. Pastinya, musuh kian hampir dengan pesawat ini.

“Yus, mereka hanya 10 kilometer daripada kita. Lancarkan peluru M17!” Raman memberikan arahan. Aku terus memerhatikan skrin besar di hadapanku. Dua cahaya kecil seakan-akan sedang menuju ke arahku. Satu daripada butang biru kutekan. Sepantas kilat, satu peluru yang kureka khas  dilepaskan daripada pesawat membelah kegelapan angkasa.

“Yeahh, menemui sasaran!” jerit Raman. Aku hanya tersenyum bangga. Satu letusan  besar menghiasi kegelapan angkasaraya. Ternyata satu pesawat musuh telah berjaya kuhapuskan. Satu pesawat yang tinggal masih berada di posisi yang sama. Tidak menuju ke arah pesawatku. Aku masih menunggu serangan seterusnya daripada mereka.

“Yus, kau tengok betul-betul radar kat depan kau tu, aku rasa macam ada yang tak kena. Aku dapat mengesan sekurang-kurangnya lima lagi pesawat asing. Kita tak dapat mengenalpasti kod keselamatan mereka!” Raman menjerit lagi.

Aku masih meneliti radar yang berada di hadapanku. Setiap satu minit satu pesawat asing berjaya dikesan oleh alat radarku. Aku mengarahkan Sheila dan Raman mengukuhkan lagi pertahanan terhadap musuh. Kini, puluhan pesawat musuh bila-bila masa sahaja boleh menyerang pesawatku dan menghalang misiku ini.

“Sheila, Raman…sedia!” jeritku ke arah mereka berdua.

Mungkin inilah lanun-lanun angkasa yang pernah dikatakan oleh ayahku dulu. Dahulunya mungkin ianya hanya mitos-mitos dongeng. Tapi kini aku berdepan dengan suatu alam yang realiti. Sejarah baru pasti akan tercatat dalam kamus peradaban manusia sejagat. Aku takkan merosakkan perjalanan dunia sejarah yang disusun selama ini.

Satu peluru asing berjaya dilepaskan oleh pihak musuh. “Man, elak serangan!”jeritku lagi ke arah Raman. Sepantas itu juga pesawatku bergegar, seakan terbalik 180 darjah. Sheila yang masih berada di pit kecemasan menjerit ketakutan. Ternyata Raman begitu tangkas dalam tindakannya. Dia berjaya kali ini. Baru sahaja aku menarik nafas lega, satu lagi peluru asing daripada musuh dilepaskan ke arah pesawatku. Ah, bukannya satu. Tapi, dua…tiga..tak mungkin!!!

Puluhan peluru berpandu jenis M909 dan M101 dilepaskan. Semuanya menuju ke arah pesawat SpaceShipMalaya milikku. Raman masih berada di tempatnya. Dia begitu tangkas sekali mengelak peluru-peluru tersebut. Pertahanan pesawatku semakin lemah. Aku tahu, SpaceShipMalaya akan tumpas sekiranya keadaan terus dibiarkan begini sahaja.

“Kita tak boleh terus bertahan…Serang!!!” laungku kepada Sheila dan Raman.

Bergema seluruh isi pesawat tersebut. Sheila di pit kecemasan mula melancarkan peluru berpandu ciptaan kami berdua. Sekurang-kurangnya pihak musuh tahu bahawa serangan mereka tidak  semudah yang disangka. Mereka mula menggandakan serangan. Mujur aku telah merekacipta pesawat ini dengan reka bentuk yang khas. Gear keselamatan kutarik. Sepantas itu juga SpaceShipMalaya berubah bentuk menjadi seperti satu piring terbang, Aku, Sheila dan Raman kini berada di dalam satu ruang keselamatan yang hanya mampu memuatkan kami bertiga sahaja. Dengan saiz pesawat seperti ini, pastinya peluru-peluru musuh sukar untuk menemui sasarannya.

Pedal meter kelajuan  kutekan lebih kuat. Pesawat SpaceShipMalaya meluncur lebih deras membelah kepekatan angkasa. 5 minit lagi pesawat ini akan melakukan pendarataan pada kedudukan 18° U 133° B di kawasan tanah tinggi Tharsis. Pesawatku semakin menghampiri jurang yang tajam di sebelah Olympus Mons. Aku tahu aku sedang menuju ke kawasan pergunungan paling tinggi di dalam sisten suria. Menurut Sheila, dia dibesarkan di kawasan tersebut. Semenjak kecil, dia tidak mendapat belaian kasih sayang daripada kedua-dua orang tuanya. Mungkin kerana itulah dia begitu tabah menempuh rona hidupnya.

Aku semakin hampir dengan planet Mars. Daripada cermin tepi, dapat kuperhatikan celahan-celahan genting yang selari selebar kira-kira 150 meter dan sedalam hampir 25 meter. Terdapat juga kawah-kawah besar di sebelah celahan tersebut. Menurut Sheila, celahan-celahan tersebut merupakan rekahan-rekahan dalaman dan kawasan tanpa corak di situ adalah hasil daripada gelombang-gelombang seismik. Sheila begitu arif sekali dengan keadaan di situ. Melalui radar, aku tahu bahawa aku sedang melalui bulan phobos yang ada di Marikh.

Ketibaanku di Marikh disambut dengan sambutan yang agak luar biasa. Aku dikelilingi oleh penduduk-penduduk Marikh. Sheila kelihatan begitu gembira sekali.

“Hei Zisrena, kau kembali kerana mahu membalas dendam bukan!!!” kedengaran satu suara lelaki menjerit ke arah aku dan Sheila. Aku menjadi bingung. Aku lihat wajah Sheila terus berubah. Dia terus menarik tanganku sambil berlari membawaku ke tempat yang langsung tidak kutahu. Aku hanya menurutinya sahaja. Semakin lama, langkahan Sheila semakin pantas. Seorang lelaki bertubuh tegap lengkap berpakaian perang sedang mengekoriku dan Sheila dari belakang. Dia semakin menghampiriku. Lama-kelamaan langkahan Sheila senakin longlai dan akhirnya dia terjatuh. Aku terus menghempap tubuhnya yang telah dibasahi keringat.

“Kau mahu lari ke mana?” angkuh sekali lelaki tersebut.

“Yang kau nak kejar aku ni apsal pulak?” aku cuba untuk melawan.

“Aku tahu kau memang mahu merampas wilayah ini daripadaku bukan? Sebab itu kau bawa budak asing ini! Mengaku sahaja Zisnera!”

Zisnera? Sudah beberapa kali lelaki tersebut memanggil Sheila dengan nama tersebut. Pasti ada sesuatu yang dirahsiakan daripadaku selama ini. Aku cuba mengangkat tubuh lesu Sheila.

“Cepat, tunaikan janji kau sekarang, Zisnera!” lelaki tersebut bersuara lagi.

Sepantas itu juga, Sheila kulihat mengeluarkan sejenis objek berupa sepucuk pistol. Aku cuba menahannya. Namun, pantas dia menepis tanganku. Sheila kelihatan berani sekali. Satu das tembakan dilepaskan tepat mengenai dada lelaki tersebut.

“Itu sahaja kemampuan kau! Ternyata sia-sialah perjalanan jauh kau selama ini!” lelaki tersebut terus mara menghampiri Sheila. Semua tembakan ke arahnya langsung tidak berhasil. Sheila semakin mengundur ke belakang.

Lima hari aku dan Sheila dikurung di suatu tempat yang cukup asing bagiku. Raman telah hilang semasa aku dan Sheila dikejar lelaki itu. Sheila tidak seceria dulu lagi. Aku tahu ada sesuatu yang aku tidak tahu tentang dirinya.

“Yus, malam ni saya nak berterus-terang dengan awak,” Sheila memulakan bicara. “Awak sayang saya?”

Tergamam bila aku dengar ayat itu keluar daripada mulutnya. Apahal dengan dia ni, buang tabiat ke? “Kenapa awak tanya macam tu kat saya?”

“Saja nak try kejujuran dan kesetiaan awak,” Kepalanya diletakkan di atas pahaku. Manja sungguh Sheila malam tu. Aku tak tahu macama mana nak jawab soalan Sheila.

“Awak, jawablah soalan saya,” sengaja Sheila buat-buat suara manja kat aku.

“Emm…ya…sayang…biarlah bulan dan bintang menjadi saksi cinta kita,” pehh, malam itu aku luahkanlah segala yang terbuku kat dalam hati aku  selama ni.

“Ada satu lagi yang saya nak awak tahu,”

“Apa dia?”

“Awak tahu siapa Zisnera yang lelaki hari tu cakap?”

Aku hanya menggelengkan kepala. Rasa dah malas sangat nak serabutkan lagi kepalaku ni.

“Zisnera yang dia maksudkan itu ialah saya Yus……ya….saya.”

“Dulu, ayah saya merupakan pemerintah di sini. Sayangnya, ayah saya tak ada waris lelaki. Sayalah anak tunggalnya. Semasa hujung hayatnya, Fotyz telah mengambil alih kerajaan daripada ayah. Ayah masa tu dah sakit teruk,” Sheila memulakan bicara.

“Oleh kerana sifat tamak, Fotyz telah merampas kesemua harta keluarga saya, Yus…” kata-katanya terhenti di situ.

“So, yang kejar kita hari tu ialah Fotyz?”

“Bukan, itu ialah anak sulungnya, Ferhad. Fotyz mati dibunuh selepas hanya tiga tahun memerintah. Sehingga kini mereka menuduh saya sekeluarga yang membunuhnya.”

“Habis tu, macamana awak boleh sampai ke planet bumi?” aku semakin tak sabar mendengar cerita daripada Sheila.

“Sebelum ayah menghembuskan nafas terakhirnya, ayah sempat menurunkan segala kuasa dan ilmunya kepada saya. Saya dihantar oleh ayah keluar dari sini. Sampai kini saya masih tak tahu nasib ayah saya Yus,”

“Jadi, ayah awak masih hidup?”

Belum pun sempat soalanku dijawab oleh Sheila. Jeriji besi kurungan kami seperti dibuka. Sheila lantas bangun dari pangkuanku.

“Wah, bukan main mesra lagi kau sekarang. Keluar sekarang. Ikut aku!” seorang lelaki bertopeng lengkap berpakaian seperti seorang pahlawan purba membawa aku dan Sheila pergi. Kami dibawa melalui lorong yang gelap. Di kanan dan kirinya penuh dengan barangan purba. Mereka membawaku ke suatu bilik yang agak luas. Terdapat seorang seperti raja di zaman kesultanan Melatu Melaka sedang berada di atas singgahsananya. Matanya tajam dituju ke arahku.

“Ikat tangan mereka!” arahnya kepada lelaki tadi. Tangan dan kakiku diikat pada dua batang besi.  Satu kawah sebesar dua kolam mandi sedang menanti untuk menjamah tetamunya. Aku tidak mampu berbuat apa-apa.

Suasana tiba-tiba menjadi sepi. Tidak semena-semena angin bertiup dengan begitu kencang sekali. Kesemua perkakas yang digantung di dinding jatuh ke lantai. Raja tadi masih kelihatan tenang. Bilik ini telah dipenuhi oleh manusia-manusia yang tidak kutahu asal-usulnya. Semuanya memegang senjata di tangan masing-masing. Debu pasir terus memenuhi ruang bilik tersebut. Keadaan semakin tidak terkawal. Ada kedengaran suara mereka yang mula menjerit ketakutan di luar sana.

Aku lihat Sheila sudah tidak ada di situ. Tiba-tiba satu cahaya semacam laser merah tepat menuju ke arah mataku. Aku cuba mengelaknya. Namun aku terlalu lambat. Pancarannya terus menujah kedua-dua biji mataku. Aku seperti hilang kawalan. Aku cuba untuk menggerakkan tangan dan kakiku. Sepantas itu juga ikatan di kaki dan tanganku terbuka. Raja tadi yang kelihatannya begitu tenang sudah bangkit daripada singgahsananya.

“Apa kau fikir kau akan dapat kembali kekuasaan kau Zisnera!!!” jeritnya. Aku semakin bingung. Kulangkah setapak lagi maju ke depan.

“Aku hanya mahukan kemakmuran yang bertunjangkan keadilan berpaksi di sini!”  kedengaran suara Sheila menjerit.

“Kau lupa akan janji kau dahulu!” tambah Sheila. Dia kini telah lengkap berpakaian seperti pahlawan zaman silam. Sambil menjeling ke arahku dia mara lagi ke hadapan. Pedang di tangannya diangkat. Berlakulah pertempuran hebat antara dua pahlawan Marikh. Sheila kulihat begitu tangkas dalam setiap langkahannya. Raja tersebut kelihatan goyah dalam menangkis segala serangan daripada Sheila.

Dalam keadaan kelam kabut. Sheila mencampakkan tombak sakti bapanya kepadaku. Tombak itu kusambut kemas dan kini aku bertanggungjawab untuk menghapuskan raja yang zalim ini. Aku semakin yakin. Segala kudrat yang ada kugunakan untuk menentangnya. Tombak tersebut kulempar sekuat-kuatnya ke arah raja tersebut, tepat mengena kepalanya. Dia jatuh longlai di sisi seorang pemuda. Ya, dialah Ferhad.

Belum sempat kubuka langkah lagi, tombak sakti tersebut dilempar oleh Ferhad ke arahku….Ahh

Darah memancut-mancut keluar dari dadaku. Aku cuba untuk bertahan. Sheila menyambutku di tanah. Deras jantungku pantas berdegup.

“Yus, jangan tinggalkan saya. Maafkan saya Yus,” Aku hanya terdaya melemparkan secebis senyuman untuknya. Air matanya menitis tepat ke mataku.

“Saya bersalah terhadap awak Yus. Saya tak patut buat awak macam ni…”

“Tak per sayang…ayah awak dah ceritakan segalanya kepada saya. Inilah namanya pengorbanan. Bukti cinta kita. Maafkan saya kerana tak dapatkan tunaikan impian awak selama ni. Saya gagal untuk merampas kuasa daripada mereka. Saya gagal…”

“Sayang, kalau sayang jadi bulan…saya akan menjadi bintangnya,” sambungku dalam nafas tersekat-sekat.

“Kalau awak bumi…saya akan jadi penyeri di sini,” sambung Sheila.

“Sayang, kalau sayang ombak…saya akan menjadi pantai…kita tak akan dipisahkan selama-lamanya.”

“Betul tu, kalau awak nakhoda, saya pula akan menjadi anak kapalnya.” Titis air matanya terus berjujuran ke mukaku.

“Tapi kalau saya pergi….”

“Kalau awak pergi, saya tetap akan tunggu awak di sini… jangan cakap macam tu Yus!!!” Sheila terus memeluk erat tubuhku.

Pemergian Yusri di Marikh menandakan tamatnya penguasaan waris keluarga Zisnera. Dia pergi bersama pengorbanan yang sukar ditafsirkan. Ternyata, sumpahan Fotyz ke atas tanah Marikh terus mencengkam planet itu. Zisnera gagal membawa seorang manusia daripada bumi untuk menamatkan sumpahan tersebut. Adakah sumpahan itu  akan terus menguasai kerajaan Marikh? Mampukah Zisnera membawa satu lagi perwira daripada planet bumi  untuk menamatkan sumpahan itu?

ANGKASAWAN PERTAMA NEGARA KE MARIKH GAGAL DIKESAN

DR. TENGKU HAIRIE YUSRI 1986-2015

SEMOGA ROHNYA DICUCURI RAHMAT

AL-FATIHAH…