Ketenangan adalah kunci utama untuk mencapai apa jua kejayaan. Kecemerlangan dan kehebatan diri akan terserlah dengan ketenangan kita. Kenapa perlu bertenang? Apakah kepentingannya?

Sebenarnya, ketenangan tu sendiri pun memang dituntut oleh agama Islam sedangkan sifat kelam kabut pula seringkali dikaitkan dengan sikap syaitan. Saya suka menulis sesuatu yang diharap dapat membantu meningkatkan kualiti hidup kita sendiri. Kalau kita mampu mencemerlangkan diri kita, dengan sendirinya seluruh masyarakat akan turut mendapat manfaatnya. Bukankah begitu?

Saya ambil satu contoh, ada sebuah kilang yang dikatakan sangat hebat. Semua pekerjanya kalau kerja sampai lewat malam pun tidak kisah, hendak cari duit lebih katanya. Suatu hari, pengurus kilang tersebut mengarahkan pekerjanya untuk buat overtime sampai pukul 1 pagi.

“Baiklah, hari ni semua dikehendaki untuk bekerja sampai larut malam….dan saya akan menilai hasil kerja kamu semua setelah kamu selesai bekerja nanti..” kata pengurus tersebut kepada pekerja-pekerjanya (confident jer cakap). Mereka semua ini bekerja di sebuah kilang kraftangan di Pantai Timur. Nak dijadikan cerita, selesai sahaja semua pekerja pulang ke rumah, pengurus itu pun pergi mengecheck satu persatu hasil kerja pekerjanya. Tiba-tiba…

“Hei…..apa mereka semua buat ni…panggil semua mereka semula!!!” jerit pengurus tersebut kepada pengawal keselamatan di situ.

Dan pengawal keselamatan yang lurus bendul itu pun berlari dengan kelam kabut mencari semua pekerja kilang tersebut yang telah mula beredar meninggalkan kilang tersebut. Tidak puas dengan itu, dia pun menunggang motosikalnya dan kemudian menuju dari bilik ke bilik untuk memanggil kesemua pekerja di asrama pekerja.

“Kamu semua memang hendak buat saya marah. Semua hasil tangan kamu langsung tidak memuaskan hati saya. Kamu makan nasi ke makan pasir haaaaah! Lantang sungguh pengurus tersebut menengking ke arah kesemua pekerjanya. Semua pekerjanya hanya menundukkan muka sahaja. Sudahlah penat bekerja sampai ke tengah malam, kena tengking lagi dengan pengurus Apa nak jadi .

Dari jauh kelihatan pengawal keselamatan sampai dengan termengah-mengah. Uniformnya telah basah dengan peluh. Tidak semua pekerja dapat dikumpulkannya semula. Pengurus tersebut semakin marah. Pak guard itu sekali kena  tengking dengan boss tersebut. Kasihan betul.

“Saya suruh awak semua kerja overtime supaya kualiti kilang ini dapat ditingkatkan lagi……bukan macam macam apa yang kamu dah buat nih……saya memang tak puas hati!!!” tambah pengurus itu lagi. Merah padam sekali mukanya.

“Saya pun tak puas hati boss,” kedengaran suara lembut bernada agak tegas dari arah belakang kumpulan pekerja tersebut. Masing-masing mencari gerangan siapakah pemilik suara itu. Suasana senyap seketika. Diam membisu. Sesaat kemudian kedengaran batuk-batuk daripada beberapa manusia di situ.

“Boss dah tahu boss tu rabun… apsal tak pakai cermin mata?”

“Mata dah tak nampak, nak salahkan hasil kerja kami pulak…” sambung seorang pekerja yang lain.

Pengurus yang berlagak itupun menggosok matanya berulang-ulang kali….Dengan perlahan dia menyeluk poket bajunya dan mengambil cermin matanya…..Sambil tersenyum, dia hanya mengungkapkan

“I’m so sorry…”

Beberapa pengajaran daripada cerita di atas

Pertama….pengurus tersebut perlu lebih tenang dan jika perlu menunggu ke hari esok  untuk menilai hasil tangan pekerjanya.

Kedua….pengawal keselamatan tu pun tidak perlulah membuta tuli mengikut arahan pengurus tersebut. Sepatutnya dia perlu menasihati pengurus tersebut dan bukannya dia pun sama menjadi kelam kabut.

Akhir  sekali, bentuklah karakter terbaik untuk diri kita demi kepentingan peribadi, masyarakat dan sebagai warisan kepada generasi-generasi mendatang.