Hari ini saya nak cerita lagi mengenai satu penyakit yang selalu juga kita dengar. Selalunya kaum perempuanlah yang senang untuk mendapat penyakit ni. Penyakit apa ya? Ha,kita akan membincangkan mengenai penyakit osteoporosis.

Osteoporosis biasanya dikenali sebagai kehilangan tisu-tisu tulang atau lagi biasa kita dengar sebagai tulang rapuh dan mudah patah. Biasanya proses penghasilan tisu-tisu tulang adalah seimbang dengan proses penghancuran/pembuangannya.

Namun, selepas usia 30 tahun proses penghancuran tisu-tisu tulang ini adalah lebih banyak daripada proses penghasilannya.

Ini semua adalah proses normal bagi bagi seseorang manusia. Jadi,  lazimnya kita akan kehilangan kira-kira 0.1-0.2% daripada keseluruhan kalsium dalam tubuh kita dalam setahun tetapi ia boleh mencapai sehingga 0.5% selepas usia 40 tahun dan kepada wanita yang dah menopaus boleh mencapai ke 1%.

Osteoporosis biasanya terdapat pada kaum hawa yang berumur melebihi 60 tahun dan mempunyai berat badan kurang daripada 60 kilogram. Senang cerita perempuan yang sudah menopaus memang berisiko untuk mendapat osteporosis.

Mengikut kajian, perempuan adalah 6 kali lebih mudah untuk mendapat osteoporosis berbanding lelaki.Justeru kepada anda yang berkenaan tu berjaga-jagalah ya.

Apa ya lagi risiko lain untuk mendapat osteoporosis ni? Sebelum saya terlupa tadi saya ada memberitahu bahawa osteoporosis lebih mudah terdapat pada wanita yang mempunyai berat badan kurang 60kg. Kenapa ya?

Sebenarnya mereka yang gemuk-gemuk itu mempunyai lebih banyak hormon estrogen yang lazimnya terdapat di tisu-tisu adipos. Justeru,mereka adalah kurang berisiko untuk mendapat penyakit osteoporosis lantaran adanya estrogen yang didapati dapat mencegah osteoporosis.

Sebab itu  juga wanita yang sudah menopaus lebih berisiko untuk mendapat osteoporosis kerana kurangnya hormon estrogen dalam tubuh mereka.

Macam mana hendak rawat penyakit ni? Sebenarnya langkah paling mudah ialah sentiasa memastikan pengambilan kalsium dan vitamin D yang mencukupi. 500mg kalsium dan 400 iu vitamin D setiap hari adalah mencukupi.

Dapatkan juga cahaya matahari yang secukupnya kerana sinaran matahari tu adalah sumber yang baik kepada vitamin D. Banyakkan aktiviti-aktiviti luar rumah dan jangan asyik terperap di dalam rumah sahaja. Satu lagi, kepada sesiapa yang merokok, kurangkanlah atau berhentilah terus kerana merokok juga merupakan salah satu faktor untuk mendapat osteoporosis.

Baiklah, semoga semua mendapat input yang bermanfaat.