Petua tangani stress hidup

Januari 30, 2012

ALLAH itu Maha Kaya. IA menjadikan setiap daripada hasil di bumi ini untuk kita nikmati, teladani dan hayatinya. Pernahkah anda terfikir seperti itu?

Saya sering melalui detik-detik dan hari-hari yang amat mendukacitakan di dalam hidup. Saya yakin anda juga pernah melalui saat-saat seperti ini. Namun, selagi mana kita mampu untuk menangani setiap permasalahan di dalam hidup ini dengan bijak, saya percaya, rasa bosan, tidak bersemangat, tiada motivasi di dalam hidup bukanlah suatu masalah yang besar di dalam hidup.

Hari saya berikan anda 3 petua berguna untuk kita menjana lebih kekuatan dalaman agar kita menjadi manusia yang lebih gagah, perkasa dan yakin dalam melalui setiap arus cabaran kehidupan

1. Kaji semula matlamat utama kehidupan anda.

Pernahkah anda mengkaji, membuat penelitian semula akan apa matlamat sebenarnya anda hidup di muka bumi ini? Ya, setiap daripada kita pasti mempunyai matlamat tersendiri di dalam hidup. Mungkin ada di antara anda yang pernah memasang impian untuk bergelar manusia berjaya  ketika zaman belajar di persekolahan.

Ada juga yang sering mamahat angan untuk menjadi seorang juruterbang, peguam atau doctor  hebat tatkata kecil-kecil dahulu. Tidak kurang, ada juga yang mungkin sering bermimpi-mimpi untuk menjadi seorang isteri dan suri rumah yang terbaik buat suaminya kelak. Betul?

Justeru, bila anda kian lemah dan merasakan tidak bersemangat di dalam hidup, cuba ingat semula matlamat ada sewaktu kecil-kecil dahulu. Saya percaya setiap daripada anda pasti pernah memasang apa-apa angan suatu masa dahulu? Realisasikanlah ianya sekarang. Anda berhak untuk mencapai kesemua matlamat itu.

Hidup hanya sekali saja, dik. Gunakanlah ia sebaiknya. Tuhan mahukan yang terbaik daripada setiap hambanya. Pastikanlah yang terbaik itu adalah kita.

2. Kegagalan adalah suatu proses kehidupan

Tahukah anda bahawa setiap kegagalan yang anda pernah,sedang dan akan lalui adalah suatu proses-proses kehidupan? Ya, jatuh, bangun,jatuh dan bangun semula itu adalah proses normal kehidupan kepada anda, mereka dan saya sendiri untuk kita menjadi seorang manusia yang benar-benar kuat, hebat dan berjaya!

Justeru kita tida boleh sama sekali merasa keluh, kesah, dan kecewa, akan segala kegagalan yang berlaku kepada kita. Gagal, jatuh dan sesekali ‘down’ di dalam hidup itu adalah normal, dik. Semua orang pernah merasakan kegagalan di dalam hidup. Namun selepas itu mereka mampu untuk bangkit semula dan menjadi seorang manusia yang benar-benar hebat dan berjaya.

Percayalah, pada setiap kejatuhan itu, pasti ada bangunnya suatu hari nanti, andai kita terus berusaha dan berusaha untuk membangunkan diri kita.

3. Kita adalah makhluk terbaik ciptaan ALLAH.

Anda tidak boleh merasakan yang anda telah gagal atau adalah manusia yang tidak berguna di atas muka bumi ini setelah anda mengalami apa-apa juga bentuk kegagalan di dalam hidup. Kita ini adalah makhluk ciptaan terbaik daripada Yang Maha Esa. Jadi, kita jugalah yang mesti dan wajib membuktikan bahawa kita sememangnya benar-benar berhak untuk menjadi makhluk terbaik daripada ALLAH.

Jangan rasa sedih, tak usah bermuram muka, jangan sekali-kali merasa jatuh, sebab anda sememangnya makhluk terpilih. DIA menghadiahkan setiap ujian itu kepada hamba-hambanya yang terpilih sahaja. Anda perlu tahu bahawa anda adalah makhluk yang DIA pilih kerana andalah yang dirasakan berhak untuk mendapat ujian tersebut.

ALLAH tidak menghadirkan ujian kepada hamba-hambanya yang tidak layak untuk mendapat ujian tersebut. Setiap ujian, dugaan dan cabaran adalah untuk hambanya yang dirasakan berhak dan mampu untk menanganinya.

Maka, hadapilah dengan tabah, kuat, tegar dan cekal. Yakinlah bahawa anda merupakan makhluk yang terbaik untuk menerima setiap ujian daripada ALLAH.


Menjadi hamba yang tabah

November 30, 2011

Kesedihan dan keresahan yang kita lalui sepanjang hari hanyalah membuatkan kita menjadi manusia yang lebih kuat lagi.Percayakah anda bahawa mereka yang telah berkali-kali ditimpa kesusahan didalam hidupnya,mereka itulah sebenarnya manusia yang benar-benar berjaya.
Sehari-harian melayan berencam-rencam karenah anak-anak kecil benar-benar mengajar saya akan erti sebuah kehidupan.Ya, andai anda merasakan hidup anda sering ditimpa dengan berbagai-bagai dugaan, percayalah bahawa ramai lagi orang di luar sana yang turut berhadapan dengan ujian.Hanya bentuk dan cara ianya diturunkan sahaja yang berbeza.
Saya melihat betapa anak-anak seawal usia setahun sudah disahkan menghidap penyakit buah pinggang,ada yang sejak dilahirkan pun sudah mengalami berbagai-bagai penyakit.Pernahkah kita cuba untuk meletakkan diri kita seperti di tempat mereka? Apa perasaan mereka?
Ya, mereka mungkin terlalu mentah untuk menjawab persoalan dunia.Mereka sudah tentu belum cukup untuk mengenal untuk apa mereka dilahirkan. Namun pernahkah anda membayangkan bagaimana untuk mereka menjalani hari-hari mendatang mereka?bagaimana pula mereka bakal mengalami masa-masa hadapan mereka?
Anda semua yang masih diberi ruang, masa dan kesempatan nikmat pelbagai di atas muka bumi ini, maka brsyukurlah kita.
Pasangkan niat selalu bahawa hidup ini adalah medan ujian buat kita.Dunia bukan tempat untuk semata-mata mencari kesenangan mahupun mengejar kemewahan.
Sesekali kita diuji dengan musibah,anggaplah ianya sebagai peluang untuk kita menguji sejauhmana kuatnya kita untuk menjadi hamba yang benar-benar tabah.
Percayalah,hamba yang sering cekal bersama musibah dan kesusahn,mereka itulah sebaik-baik hamba yang disayanginya.


Ujian hanyalah penguat jiwa

Ogos 9, 2011

Kesusahan dan kepayahan yang dilalui dalam hidup adalah lumrah. Setiap daripada kita pasti melaluinya. Tidak ada sesiapa pun yang berani untuk mengatakan bahawa mereka tidak pernah berdepan dengan kesukaran di dalam hidup.

Anda, saya mahu pun sesiapa yang bergelar manusia wajib untuk menempuh dengan beribu gulungan ombak bahtera kehidupan. Kadangkala kita terolang ke kanan, terkadang teraling pula ke kiri. Dan natijahnya, adakah kita kuat untuk melalui kesemuanya itu? Tepuk dada tanyalah hati anda.

Ya, kita yang hidup ini perlu meneruskan hidup. Kita tidak boleh lagi menoleh ke belakang. Yang hidup perlu teruskan misinya. Yang sudah berlalu maka biarkanlah ia pergi , usah dikenang lagi. Ungkapan seperti ini sepertinya sudah menjadi kelaziman kepada dunia kita pada hari ini. Dan saya amat sukakan kalimat seperti ini.

Barang yang lepas usah dikenang. Betul? Tuan, puan, abang, kakak dan adik-adik semua… hidup kita ini sememangnya medan ujian untuk menguji sejauh mana kekuatan kita. Adakah kita ini benar-benar kuat, atau adakah kita ini sekadar pelengkap kejadian manusia di muka bumi ini.

Bukankah Tuhan juga ada menyebut di dalam  kitab sucinya, kita ini sebagai manusia adalah sebaik-baik ciptaan kejadian. Disuruh untuk menyeru ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran. Jadi, perlukah untuk kita mencari bukti-bukti lain untuk menjelaskan bahawa kita ini benar-benar ciptaan yang terbaik daripada Maha Pencipta?

Dan apabila kita telah sedia maklum bahawa kitalah sebaik-baik ciptaannya, maka itu kita mesi tunjukkan bahawa kita ini memang berhak untuk dikatakan sebaik-baik makhluk dan kejadian..

Ya, bersedih itu tidak salah, tetapi berlebih-lebih di atas kesedihan, itu yang salahnya. Jadi, tunjukkan kepada dunia, buktikan kepada semua bahawa kitalah sebaik-baik ummat. Kitalah yang berhak untuk menjadi pewaris ummat Muhhamd SAW.

Apa guna memandang cantiknya pakaian orang, kalau pakaian sendiri pun tidak pernah dilihat, sesekali itu lihatlah lebihnya apa ada pada diri kita, mungkin disitu terselit seribu kecantikan yang tidak pernah kita terjangka.

Kita ini hebat, kita juga sebenarnya mampu untuk mendepani setiap ujian daripada DIA, jadi mengapa mesti mudah mengalah, percayalah pada diri sendiri, anda pasti berjaya.


Gembirakan mereka untuk kegembiraan kita

Mac 24, 2011

Sekiranya Anda memberi sesuatu kepada orang lain selalunya Anda akan menggandakan hasil yang berlipat kali ganda buat diri Anda. Dalam sehari-harian kehidupan kita, cuba kita lebihkan orang lain daripada diri kita sendiri.

Mulakan ianya daripada dasar dan permulaan dulu. Anda mulakan terlebih dulu di dalam institusi keluarga. Di rumah contohnya, sentiasalah membuatkan ibu, ayah dan adik-adik Anda merasa senang dengan kehadiran Anda. Gembirakan mereka, ringankan beban dan kesusahan mereka. InsyaAllah, semoga dengan kepayahan dan keikhlasan Anda dalam membantu mereka, akan sentiasa mendapat pandangan dan tempat di sisi ALLAH SWT.

Kita hidup ni bukan semata-mata untuk mengejar kejayaan peribadi, namun apa yang jauh lebih penting adalah sejauh mana besar dan banyaknya sumbangan kita kepada mereka.

Seberapa besarnya hasil yang kita bawa kepada masyarakat, sehebat mana usaha kita untuk manusia sekeliling… ha, kesemua itulah yang seharusnya menjadi nilaian pada mata kita.

Anda akan mampu untuk menjadi seorang manusia yang boleh dilabel sebagai manusia Berjaya, sekiranya anda Berjaya mencapai target dan aim yang Anda sendiri  tetapkan. Tetapi malangnya ramai di kalangan kita pada hari ini yang kerap kali meletakkan matlamat yang silap dalam hidup mereka.

“Saya mahu menjadi seorang yang kaya di dalam 10 tahun lagi, “ …. “ Aku nak pastikan bahawa aku berjaya menjadi seorang lawyer yang disegani di negara kita, “ .. Ya, saya setuju dengan kenyataan-kenyataan bersemangat daripada semua rakan-rakan kita itu. Namun, adakah sudah cukup untuk Anda meletakkan dan menggariskan matlamat dalam hidup seperti itu sahaja?

Berilah, sumbanglah, sentiasalah melebihkan orang-orang di sekeliling kita… walaupun untuk sekecil-kecil perkara. Carilah harta dengan penuh iltizam dan bersungguh-sungguh, niatkan dalam hati, mudah-mudahan lebihan kesenangan yang diperoleh nanti dapat dikongsi sama oleh semua keluarga, anak –anak dan isteri. Belajarlah bersungguh-sungguh, capailah impian yang besar-besar, moga-moga kejayaan itu mampu membangkitkan rasa puas dan kegembiraan yang tidak mampu diucap oleh ibu bapa Anda.

 

 


Petua tingkat motivasi [bahagian akhir]

Februari 23, 2011

Motivasi itu selalunya memerlukan suatu booster besar untuk menujah hati, memandu  akal dan mengarah diri ke arah matlamat dan impian. Tanpa hasrat dan hajat yang besar, segala yang diimpi adalah sukar untuk dicapai.

Ramai orang yang mahukan kejayaan dalam masa yang singkat, namun semuanya nampak seakan sukar dan kabur untuk digapai lantaran tiadanya booster yang benar-benar kuat ke arah itu.

Petua terakhir bagaimana untuk meningkatkan motivasi anda apabila menghadapi apa punlah masalah dan musibah ialah, anggap sahaja semua yang telah, sedang dan akan dilalui pada masa hadapan adalah suatu proses pembelajaran!

Anda mungkin akan nampak seolah-olah apa yang saya sampaikan ini adalah suatu yang jarang difikirkan oleh ramai orang. Namun, tahukah anda betapa ramai manusia berjaya di dalam sejarah moden hari ini, mereka menjadikan kejatuhan, kegagalan dan pengalaman di dalam hidup untuk memacu diri mereka ke tahap yang jauh lebih gemilang lagi!

Kita lihat bagaimana Thomas Edison yang mencuba beribu-ribu kali sebelum berjaya menghasilkan sebuah alat yang mampu memberi cahaya kepada manusia sejagat sehingga hari ni. Tengok sahaja sejarah bagaimana Kolonel Saunders yang beratus-ratus kali mencuba resepi ayam gorengnya, yang asalnya sekadar untuk menampung kos hidupnya, namun akhirnya ia telah menjadi cukup terkenal sehingga ke hari Ini.

Jelas kepada kita bahawa kejayaan dan suatu yang besar-besar di dalam hidup akan diperoleh dengan suatu yang dirasakan amat pahit pada mulanya.

Carilah motivasi anda, jangan biarkan kedukaan dan kegagalan masa lalu menjadikan anda terus gagal di dalam hidup. Percayalah, semua itu hanya akan menjadikan anda manusia yang lebih hebat, lebih bermotivasi dan lebih cemerlang.

Salam bahagia!


Petua tingkat motivasi [bahagian 2]

Februari 22, 2011

Assalamualaikum semua. Apa khabar anda? Apa macam ibu anda, ayah anda, isteri dan anak-anak anda? Diharapkan semuanya berada di dalam keadaan yang paling sihat hendaknya.

 Baiklah, kita sambung bicara kita tempoh hari. Bagaimana hendak tingkatkan motivasi kita dalam meniti hari-hari mendatang?

2) Jadikan seseorang sebagai idola hidup. Contohi kegigihan, cara bekerja dan motivasi daripadanya.

Jadikan nabi kita sebagai contoh. Tiada lagi contoh manusia terbaik di dunia ini, melainkan junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Kita mungkin ada kalanya rasa tak ada semangat, Hendak lakukan sesuatu rasa macam ‘down’ saja. Bagaimana boleh berlaku macam ini, dik?

Tidak lain tidak bukan ianya lahir saripada kuasa dalaman diri anda yang telah meluntur,layu dan kian memudar. Ibaratnya sehelai pakaian yang saban hari dibiar kering, berhujan, basah dan berpanas di bawah terik mentari, lama kelamaan ia akan luntur.

Begitulah perumpamaan kita di dalam hidup ini. Tidak ada perkara lain yang mampu  menjadikan kita kembali bersemangat dalam melalui liku-liku hidup ini melainkan memperbaharui semula tekad, azam dan motivasi kita.

Carilah idola terbaik anda. Contohinya. Ikuti peribadinya. ‘Tiru’ segala usaha gigihnya. Moga-moga kita berupaya menjadi manusia cemerlang, gemilang dan terbilang.

 


Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 10,717 other followers