Teknik belajar : bina bilik gerakan sendiri

Februari 27, 2011

Salam ceria, salam bahagia adik-adik semua. Gembiralah, senyumlah, ketawalah, dik. Walau apa pun yang sedang melanda diri anda ketika ini, usahakanlah agar anda sentiasa bersemangat dan bertenaga menghadapi halangan dan cabaran hidup.  Hidup ni kalau tak ada semangat, kurang motivasi, maka segala benda pun susah nak jadi. Betul?

Kali ini saya ingin kongsikan salah satu kaedah terbaik untuk adik-adik dapatkan kembali semangat yang telah hilang untuk anda kembali bermotivasi di dalam study.

Petua yang saya ingin beritahu kali ini ialah cuba bina sebuah bilik gerakan study di bilik anda. Bilik gerakan study yang saya maksudkan ini ialah cuba create suasana yang sangat hebat untuk merangsang diri anda agar lebih bermotivasi untuk mengulangkaji pelajaran.

Tampalkan kata-kata semangat di bilik anda. Pelbagaikan warna-warna yang boleh menimbulkan nafas baru kepada hidup anda. Warna-warna yang cerah selalunya mampu memberikan lebih ketenangan dalam hidup, maka hidupkan bilik anda dengan warna-warna kegemaran anda.

Kalau dengan warna biru boleh membuatkan anda lebih ceria, lebih bersemangat, maka warnakan dinding bilik anda dengan warna tersebut. Andai dengan warna pink mampu membuatkan anda lebih bernafsu kepada pelajaran yang dipelajari, tidak salah juga untuk anda memperbanyakkan warna tersebut di bilik anda. Lakukanlah!

Saya percaya anda dan adik-adik yang sedang membaca tulisan-tulisan saya ketika ini pastinya sedang mencari-cari formula terbaik untuk anda menjadi manusia yang lebih berjaya di dalam pelajaran dan masa hadapan, tidak kiralah bagi yang sedang berada di alam persekolahan mahupun di IPTA. Jadi, teruskan bersama saya, saya akan sambung dengan lebih banyak lagi petua-petua hebat untuk menjadi pelajar yang cemerlang. Selamat maju jaya!


Pecutan peperiksaan – 6 teknik pecutan terakhir sebelum exam

Mei 22, 2010

UNTUK pelajar yang masih menuntut, anda tidak boleh lari daripada peperiksaan. Untuk berjaya, tak kira siapa pun anda, peperiksaan adalah suatu perkara yang wajib ditempuh.

Dalam hidup pun ada ujian-ujiannya. Dan semua itu jika mampu dijalani dengan secemerlang yang mungkin, insya-Allah anda akan menjadi manusia yang paling berjaya di atas muka bumi ini.

Fokus saya kali ini adalah untuk berkongsi 6 tip penting buat semua pelajar-pelajar yang masih menuntut. Tak kira di sekolah mahu pun di IPT. Bagaimanakah persediaan terbaik yang perlu mereka lakukan untuk baki sebulan atau seminggu terakhir sebelum peperiksaan.

Ini yang saya sebut sebagai tip pecutan terakhir!

1. Senarai pendek semua tajuk yang telah dipelajari.

Langkah pertama dalam persediaan pecutan terakhir ini ialah dengan menyenaraikan kesemua tajuk yang telah anda pelajari sepanjang tahun. Senarai tajuk sahaja. Dari sini, anda akan nampak gambaran awal sejauh mana anda perlu memecut. Seberapa banyak kelajuan yang anda perlukan untuk menghabiskan kesemua tajuk berkenaan dalam masa yang anda ada.

2. Tandakan soalan-soalan yang lazim keluar dalam peperiksaan

Ambil pen atau apa-apa pensel warna, dan kemudian tandakan bahagian mana yang penting daripada tajuk-tajuk yang anda senaraikan tadi. Bab-bab yang penting ini bermakna bab-bab yang sering keluar dalam peperiksaan. Jangan tandakan semuanya. Ambil yang benar-benar kerap keluar dalam exam. Biasanya, soalan-soalan yang keluar dalam peperiksaan adalah berulang-ulang. Ia berulang sebab memang perkara itu yang amat perlu untuk difahami dan dikuasai untuk alam pekerjaan nanti (bagi mahasiswa) dan penting sebagai pengetahuan masa depan anda suatu hari nanti (bagi pelajar sekolah).

3. Semak semula nota anda.

Sebelum membaca buku-buku rujukan atau bab-bab yang lazim keluar dalam peperiksaan, baca dulu nota yang anda tulis sejak awal tahun. Nota ini perlu dibaca dulu sebab biasanya nota ini ditulis dengan ringkas. Dapatkan dulu gambaran awal tentang kesemua bab yang perlu ditekankan. Baca semua bab sepintas lalu. Tak perlu memfokus pada satu-satu bab. Pada level ini, anda hanya perlu memahamkan sahaja dulu, bukan untuk menghafalnya.

4. Baca bab-bab dan tajuk yang sering keluar dalam peperiksaan yang lepas.

Setelah anda membaca sekali imbas kesemua tajuk yang anda pelajari di dalam nota tulisan anda, mulakan pembacaan secara fokus kepada soalan-soalan penting sahaja. Sebenarnya, tidak semua yang anda pelajari dari awal tahun itu benar-benar penting. Ada bab hanya untuk anda fahami konsepnya sahaja. Ada bab lain untuk anda kuasai basicnya saja. Dan yang sesetengahnya pula memang amat-amat penting untuk anda kuasai. Dan bab-bab seperti inilah yang acap kali keluar dalam peperiksaan. Jadi, jangan sampai terlepas pandang. Mesti baca. Mulakan pembacaan secara fokus dengan bab-bab yang sering keluar dalam peperiksaan!

5. Buat soalan-soalan peperiksaan tahun lepas.

Selepas anda membaca secara fokus kesemua bab yang sering keluar dalam peperiksaan, buat pula latihan-latihan soalan peperiksaan tahun-tahun yang sudah. Ini penting untuk membiasakan anda dengan format dan situasi sebenar di dalam peperiksaan nanti.

6. Rumuskan apa yang dipelajari.

Langkah yang terakhir ini amat penting. Rumusan pembelajaran bermakna, anda perlu semak semua senarai bab-bab yang anda pelajari sepanjang tahun. Perhatikan senarai itu betul-betul. Mana-mana bab yang anda belum ulangkali, iaitu bab-bab yang jarang keluar dalam exam, time ni anda perlu tengok. Baca semula. Fahami konsepnya secara mudah. Kemudian, akhiri studi anda khususnya di malam-malam peperiksaan dengan bab-bab yang lazimnya keluar dalam peperiksaan sahaja. Ulang pembacaannnya berulang-ulang kali.

Saya doakan anda yang sedang sibuk menjalani peperiksaan, buat anda yang sedang bertungkus lumus membuat persediaan untuk exam, selamat berusaha, selamat menempuh peperiksaan. Salam kejayaan!


Tip belajar – macam mana nak hilang mengantuk masa study?

Mei 18, 2010

HARI ini saya ingin menjawab soalan seorang pelajar kepada saya. Macam mana nak hilangkan rasa mengantuk ketika study?

1. Tanam objektif yang jelas dalam belajar – pasangkan betul-betul niat, untuk apa anda belajar, kenapa pula anda study. Bila semua ini anda telah mampu jawab dengan jelas, jerit kuat-kuat dalam hati. Katakan dalam minda anda bahawa anda mesti belajar untuk menggapai matlamat anda itu. Tak ada orang malas yang boleh berjaya. Matlamat yang benar-benar jelas akan membawa seseorang itu ke suatu tahap yang tidak pernah dijangka-jangka dan mampu menewaskan apa pun halangan yang ada di hadapannya. Mengantuk, bosan dan sebagainya bukanlah masalah.

2. Lakukanlah dengan minat – Setiap kerja yang kita lakukan, mesti bersama minat. Nasihat saya, lakukanlah juga studi ini dengan minat, mesti tak ngantuk punya. Macamana nak minat? Mana ada orang hobinya study? Ya, sebut aje study, semua orang jadi malas. Jadi, lakukanlah perubahan pada persekitaran anda supaya anda jadi minat. Tulis kata-kata semangat di dinding. Buat nota cantik-cantik. Warnakan point-point penting. Buatlah apa sahaja, asalkan anda jadi lebih semangat untuk belajar.

3. Belajar dalam jangka waktu yang pendek – Belajar dalam jangka waktu yang pendek. Ini penting. Lepas sejam seeloknya, berhenti sekejap. Kalau rasa 30 minit dah rasa penat pun tak apa, berhenti sejenak. Buatlah apa-apa hobi anda. Baca novel-novel, komik-komik, main game pun tak apa, asal anda mendapat semula semangat study anda. Buat macam ni selalu, dan anda akan rasa anda tak akan jemu untuk menelaah buku-buku pelajaran anda. Percayalah!

4. Dapatkan tidur yang cukup – Perkara ni nampak macam remeh. Tapi ramai yang terlepas pandang. Tak guna study berjam-jam tapi hasilnya sama aje dengan mereka yang study hanya sejam. Apa bezanya? Belajar dengan berkualiti nilainya memang tak sama dengan mereka yang belajar tapi tiada kualiti. Nak dapat kualiti masa belajar, pastikan bahawa anda benar-benar segar dan cergas semasa studi.

Anda mengantuk, kemudian anda belajar, anda tak dapat apa-apa. Otak yang letih sukar untuk memproses segala maklumat yang dihantar kepadanya dengan berkesan. Jadi, pastikan anda mendapat tidur yang mencukupi. Ingat, tidur yang sempurna juga merupakan salah satu strategi untuk anda berjaya di dalam pelajaran.

5. Minum air kosong – Jadikan amalan minum air masak ni sebagai amalan harian. Makan buah selalu pun bagus. Tubuh yang kekurangan air akan lebih mudah untuk berasa letih. Letakkan sama air mineral di sebelah meja study anda, air ni selalu jadi penenang bila kita gelisah. Jadi, jadikanlah ia suatu amalan dalam hidup anda, untuk anda berasa lebih cergas, lebih sihat dalam urusan harian.

6. Ingat emak ayah – Semua orang bila ingat mak ayah dia, dia akan jadi sedar. Ingat ibu yang mengandung, ayah yang membesarkan, hati mesti jadi terusik. Tak ada seorang anak yang sanggup untuk mengabaikan impian besar ibunya. Jadi, bila nak studi ni, ingatlah emak ayah. Ingat pengorbanan mereka masa kecil-kecil. Percayalah, semangat anda tak akan luntur bila  jiwa mereka sentiasa bersama anda.

Selamat berjaya.


10 Petua Smart Study (bahagian 2)

April 12, 2010

HARI ini saya nak sambung 10 petua smart study yang tertangguh sebelum ini. Saya dah berikan 5 petua daripada Grace Fleming. Bagi yang belum sempat membacanya, klik sini. (mesti baca ya).

Lima lagi petua ini adalah amat-amat perlu untuk anda amalkan. Dah ramai pun pelajar cemerlang menjadikannya sebagai habit. Kaedah smart studi berkesan bagi seorang pelajar, di IPT mahu pun di sekolah. Teruskan baki 5 petua smart studi daripada Grace Fleming.

6. Ketahui cara terbaik studi anda.

Ramai yang tak sedar kepentingan yang ini. Adik-adik, otak kita ini terbahagi kepada dua. Yang kanan biasanya untuk anggota sebelah kiri. Otak kiri pula digunakan untuk anggota sebelah kanan. Dah tahu kan?

Otak kiri biasa digunakan untuk bahasa, membaca, urutan dan sebagainya. Yang kanan pula untuk irama muzik, gambar-gambar dan sebagainya. Jadi, dengan menggunakan kesemua kelebihan-kelebihan yang anda ada, secara tidak langsung anda dapat memaksimumkan penggunaan otak anda.

Baca baki entri ini »


10 Petua Smart Study

April 10, 2010

SALAM kesejahteraan dan penuh keberkatan. Buat anda semua, saya ucapkan tahniah kerana terus mempunyai semangat untuk meniti hari-hari anda dengan cemerlang. Masih punya keinginan untuk mendapatkan lebih lagi suntikan motivasi.

Ya, motivasi itu perlu di dalam hidup. Dalam kita berasa lemah dan tidak bersemangat, motivasilah yang akan membantu kita selain kuasa Allah S.W.T tentunya.

Adik-adik dan pembaca semua, kali ini saya akan kongsikan petua-petua smart study yang paling berkesan. Moga-moga anda semua bakal berjaya, akan cemerlang dan terus membantu rakan-rakan anda untuk turut sama seperti anda. Percayalah, apabila kita memberi sesuatu, pasti ada pulangannya suatu hari nanti, insyaAllah.

Jadi, apa dia yang dikata smart studi? Saya akan berikan 10 petua belajar berkesan daripada Grace Fleming, kaunselor dan pensyarah di Armstrong Atlantic State University in Savannah, Georgia.

  Baca baki entri ini »


5 Sebab Mengapa Pelajar Mengantuk Di Kelas?

Mac 31, 2010

SEBUT sahaja ceramah, semua akan mengantuk. Benar? Ya, saya percaya anda semua turut mengalaminya. Bukan saya seorang, bukan kepada ibu-ibu, tidak hanya golongan remaja bahkan semua di dunia ini pasti mengalami.  

Bagi yang sedang berada di alam persekolahan atau pun universiti, suasana di dalam kelas dan dewan kuliah sudah tentu membuatkan anda semua mengantuk, terutama ketika guru dan pensyarah sedang mengajar. Mengapa boleh jadi begini?

Kali ini, saya akan bawakan 5 sebab utama mengapa pelajar-pelajar mengantuk di dalam kelas.  Baca baki entri ini »


Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 10,718 other followers